Menteri-Menteri Kewangan APEC bincang impak ekonomi Covid-19 - Utusan Malaysia

Menteri-Menteri Kewangan APEC bincang impak ekonomi Covid-19

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan (AVFMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) menjadi platform dalam berkongsi idea antara negara anggota mengenai intervensi fiskal dan kewangan bagi mengurangkan impak ekonomi ekoran pandemik Covid-19.

Malaysia merupakan tuan rumah bagi penganjuran mesyuarat berkenaan yang dianjurkan kali pertama secara maya di Kementerian Kewangan, Putrajaya.

Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mesyuarat tersebut antara lain menjadi landasan bagi perbincangan dan bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi dan kewangan di rantau Asia Pasifik.

Katanya, ia turut meliputi perbincangan mengenai isu-isu sosio-ekonomi nasional dan serantau. 

“Dalam situasi di mana Covid-19 mengancam sistem kesihatan dan ekonomi seluruh dunia,  anggota-anggota APEC telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi impak pandemik tersebut. 

“Harapan saya agar pertemuan hari ini akan mengutarakan pelbagai cadangan dan buah fikiran untuk kita terus menyokong ekonomi masing-masing dalam menangani wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Bersempena AVFMM, sebuah kenyataan bersama dikeluarkan demi merekodkan bagaimana APEC secara keseluruhan, menangani pandemik Covid-19 melalui langkah fiskal dan kewangan yang bertujuan menyelamatkan nyawa dan mata pencarian masyarakat serta perniagaan di negara masing-masing. 

Tengku Zafrul berkata, APEC juga menyedari digitalisasi berperanan penting dalam memastikan integrasi dan keterangkuman kewangan serta perlunya ketersediaan kewangan melalui pembiayaan dan insurans risiko bencana.

“Kenyataan bersama itu menggariskan semangat kerjasama serantau di antara anggota-anggota APEC dan saya berharap kerjasama dan komitmen tetap berterusan di antara semua anggota APEC kelak. 

“Dalam hal ini, saya ingin mengalu-alukan New Zealand selaku pengerusi penganjuran mesyuarat ini pada tahun depan dan Malaysia bersedia menghulurkan bantuan dan sokongan,” katanya.

Sebelum AVFMM, Tengku Zafrul turut mempengerusikan Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) yang mana Laporan ABAC 2020 bertajuk ‘Memacu Pemulihan dan Membentuk Semula Perkhidmatan Kewangan Pada Saat Pandemik’  telah dibentangkan kepada Menteri-Menteri Kewangan APEC.

Seramai 30 peserta menghadiri mesyuarat tersebut bertemakan ‘Mengoptimumkan Potensi Insan Ke Arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran: Keterubahan, Keutamaan, Kemajuan’ yang menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah kali terakhir pada tahun 1999. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya