KUALA LUMPUR: McLaren Kuala Lumpur memperkenalkan secara rasmi model supercar baharu di bawah keluarga Longtail iaitu McLaren 765LT bermula pada harga RM1.49 juta sebelum cukai.
McLaren 765LT yang dibangunkan daripada model asas McLaren 720S merupakan kereta berkuasa tinggi yang lebih ringan dan menampilkan prestasi mengagumkan menerusi teknologi karbon fiber maju bagi komponen kereta tersebut.
Model baharu itu dikuasakan dengan enjin 4.0 liter V8 turbo berkembar digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan sekali gus menghasilkan kuasa sebanyak 765 PS dan daya kilas 800 Nm.
Kekuatan enjin tersebut berupaya membawa McLaren 765LT mencapai pecutan 0-100 kilometer per jam (km/j) hanya dalam tempoh 2.8 saat manakala kira-kira 7.2 saat sahaja bagi pecutan 0-200 km/j.
Dengan berat hanya 1,229 kilogram, 765LT adalah supercar dengan berat kira-kira 50 kilogram lebih ringan dengan pesaing terdekat manakala 80 kilogram lebih ringan berbanding keluarga 720S dengan berat 1,339 kilogram.
McLaren 765LT turut hadir dengan penggunaan bahan gentian karbon meluas pada bahagian hadapan, bumper dan juga bahagian sisi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mc Farren Supercars Sdn. Bhd., Roland Chan, hanya 10 buah 765LT akan dibawa masuk untuk pasaran negara ini daripada 765 unit yang dihasilkan seluruh dunia.
Beliau berkata, pembeli yang telah memiliki McLaren dijangka menerima 765LT tahun hadapan dengan unit pertama akan diterima menjelang suku pertama 2021.
“Kami berbangga memperkenalkan kenderaan sensasi terbaharu McLaren ke pasaran domestik. Menyedari semangat peminat tempatan bagi kenderaan terbaik dunia, 765LT akan meletakkan penanda aras kepada prestasi tahap baharu.
“Saya yakin edisi Longtail terbaharu ini akan menjadi idaman ramai peminat untuk beberapa tahun akan datang,” katanya pada majlis pelancaran di sini baru-baru ini. – UTUSAN