KUALA LUMPUR: Maxis melancarkan pakej internet berasaskan penggunaan pertama di Malaysia yang membolehkan perniagaan membayar penggunaan internet dengan lebih jimat dan fleksibel.
Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaannya, Paul McManus berkata, pakej tersebut membantu perniagaan mendapatkan keseimbangan yang tepat antara mempercepat aspirasi digital dengan pengurusan kos yang berkesan.
“Internet berasaskan penggunaan menawarkan penyelesaian pintar, inovatif, fleksibel dan terukur pada rangkaian terbaik yang membolehkan perniagaan mengoptimumkan pelaburan mereka berdasarkan perubahan dan permintaan perniagaan bermusim.
“Proposisi ini menekankan komitmen kami untuk membawa teknologi terbaik bagi membolehkan perniagaan di Malaysia sentiasa maju dalam dunia yang berubah,” katanya dalam kenyataan di sini.
Internet berasaskan penggunaan Maxis adalah pakej pertama yang mengguna pakai perisian rangkaian boleh program tertakrif di Malaysia, perisian yang diperakui oleh Metro Ethernet Forum (MEF) 3.0.
Perisian tersebut membolehkan perniagaan mengukur permintaan kapasiti dengan tepat untuk memenuhi keperluan lingkungan teknologi maklumat (IT) yang berubah dengan cepat sambil beroperasi pada prestasi tinggi yang konsisten.
Menurut Maxis, pakej itu amat sesuai untuk perniagaan dengan penggunaan internet yang berubah pada waktu puncak dan luar waktu puncak atau organisasi yang mempunyai pusat data dan keperluan pengehosan yang besar.
Malah, pakej itu juga dijangka dapat menjimatkan kos operasi sehingga 50 peratus atau lebih kerana perniagaan hanya perlu membayar untuk penggunaan sebenar tanpa melibatkan kos tidak produktif ketika kakitangan bekerja di luar pejabat.
“Selain itu, mereka dapat menikmati jalur lebar tiga kali lebih banyak untuk peningkatan prestasi dan pengalaman.
“Oleh kerana Internet Berasaskan Penggunaan menggunakan rangkaian yang dilengkapi sistem awan, pelanggan pada dasarnya menyediakan perniagaan mereka untuk mendepani pertumbuhan digital pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN