TNB LSS Bukit Selambau beroperasi 114 hari awal - Utusan Malaysia

TNB LSS Bukit Selambau beroperasi 114 hari awal

Projek solar berskala besar milik TNB di Bukit Selambau, Kedah bukti pengalaman dan kepakaran syarikat itu dalam membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengumumkan telah berjaya memulakan operasi projek solat berskala besar (LSS) miliknya di Bukit Selambau, Kedah (LSS Bukit Selambau) pada 8 September lalu iaitu 114 hari lebih awal daripada dijadualkan. 

TNB dalam satu kenyataan memberitahu, projek solar tersebut pada awalnya dijangka akan dapat mula beroperasi pada 31 Disember 2020. 

Katanya, loji tenaga solar berkapasiti 30 megawatt (MW) itu dilengkapi dengan 134,880 panel fotovoltaik solar dan 14 alat penyongsang. 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, kejayaan mula tugas LSS Bukit Selambau itu membuktikan pengalaman dan kepakaran TNB dalam pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) khususnya projek loji tenaga solar meskipun berdepan cabaran akibat pandemik Covid-19. 

“Permulaan tugas LSS Bukit Selambau yang lebih awal juga menunjukkan komitmen TNB dalam memacu penjanaan RE untuk negara termasuk keupayaan melaksanakan projek berskala besar. 

“Sejajar dengan pemerolehan pegangan majoriti dalam Vortex Solar di United Kingdom (UK) baru-baru ini, ia meletakkan TNB sebagai peneraju RE domestik selain menjadi antara pemain RE ulung di rantau ini dan peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu semalam. 

Amir Hamzah memberitahu, projek kedua LSS itu meningkat dan mengukuhkan kapasiti penjanaan solar berskala besar dalam negara dengan menyumbang 80 MWac kepada grid nasional. 

LSS pertama TNB di Sepang, Selangor (LSS Sepang Solar) berkapasiti 50 MW telah memperoleh tarikh operasi komersial pada November 2018. 

Projek LSS Sepang Solar dan LSS Bukit Selambau masing-masing dianugerahkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli melalui Suruhanjaya Tenaga menerusi program bidaan kompetitif LSS 1 dan 2. 

Kedua-dua stesen itu dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh TNB, TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe). Syarikat tersebut terlibat dengan pengurusan aset, operasi dan pelaburan serta bertanggungjawab menerajui aset serta projek RE di Malaysia dan Asia Tenggara. 

TRe juga sedang giat meneroka peluang potensi kerjasama dalam segmen RE di Malaysia dan rantau ini. 

Pembinaan LSS Bukit Selambau mengambil masa 21 bulan termasuk hampir dua bulan penangguhan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Pembinaannya dijalankan mengikut peruntukan oleh kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan satu lagi anak syarikat milik penuh TNB iaitu TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya