Lebihan dana biayai pembangunan - Utusan Malaysia

Lebihan dana biayai pembangunan

cukai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sukuk Prihatin yang menerima langganan seba­nyak RM666 juta dapat membantu kerajaan membiayai pemba­ngunan ekonomi sekali gus membantu mengurangkan kadar peng­angguran negara.

Malah kata Pen­syarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Fakarudin Kamarudin, inisiatif itu akan membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan ketika ini.

“Pelaburan patuh syariah yang diperkenalkan kerajaan itu di bawah instrumen pinjaman jangka panjang ini bebas risiko sistematik yang majori­tinya dilanggan oleh sektor korporat berbanding individu.

“Lebihan dana ini secara tidak langsung dapat membantu kelangsungan hidup dan membiayai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya dapat mengekalkan pekerja, menambah lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pengambilan pekerja baharu sekali gus mengurangkan pengangguran,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ujarnya, inisiatif itu sangat berkesan dalam memulihkan semula struktur ekonomi negara dan lebihan dana akan membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), dengan syarat sumber pendapatan negara terus pulih dan mening­kat.

Sukuk Priha­tin yang dilancarkan kerajaan pada 18 Ogos lalu telah terlebih langganan (oversubscribed) dengan jumlah lebih RM666 juta, melepasi sasaran penerbitan asal berjumlah RM500 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, memandang­kan sambutan mem­be­ransangkan daripada pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan sebanyak RM166 juta.

Sehubungan itu kata Tengku Zafrul, inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang telah ditutup pada 17 September lalu, akan diterbitkan semula esok dengan tempoh matang dua tahun.

Dana terbitan Sukuk Prihatin ini akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 untuk pelaksanaan langkah-langkah pemulihan ekonomi, seperti menambah baik kesalinghubungan di sekolah-sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

Sementara itu, Penyelidik Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, usaha yang baik daripada kerajaan adalah untuk mencari punca pendapatan pada waktu mencabar ini.

“Sukuk atau bon kerajaan secara teori adalah medium terbaik buat sesebuah kerajaan untuk membuat ‘pinjaman’ kerana ia melibatkan pinjaman dalam negara dan bukan pinjaman luar negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya