Larang pekerja bincang isu politik - Utusan Malaysia

Larang pekerja bincang isu politik

Mark Zuckerberg rancang halang pekerja Facebook bincang soal politik dan sosial dengan perincian diumumkan minggu hadapan. – GAMBAR HIASAN / AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENGALURU: Facebook Inc. mengumumkan kajian semula polisi perbincangan dalaman bagi menghalang pekerjanya membincangkan isu politik dan sosial.

Jurucakap syarikat, Joe Osborne berkata, Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg telah menggariskan rancangan untuk melaksanakan kekangan kepada pekerjanya, dengan perincian tentang peraturan baharu tersebut akan diumumkan minggu hadapan.

“Apa yang kami dengar daripada para pekerja kami adalah mereka mahukan pilihan untuk menyertai perbincangan tentang isu politik dan sosial berbanding melihatnya dalam keadaan tidak terjangka ketika bekerja.

“Kami sedang mengemas kini polisi pekerja dan kaedah bekerja supaya budaya kerja kami kekal inklusif dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurut beliau, peraturan baharu tersebut akan diguna pakai kepada perbincangan pekerja tentang bagaimana para eksekutif mengendali kandungan politik yang sensitif dalam platform Facebook, yang me­nimbulkan polemik dalaman baru-baru ini.

Beliau memberitahu, Facebook menyasarkan untuk memastikan perbincangan tentang keputusan tersebut masih boleh dijalankan melalui saluran yang betul tanpa mengganggu perbincangan lain berkaitan kerja.

Syarikat itu juga dalam proses memantapkan polisi gangguannya bagi memastikan perbualan antara pekerja terus dilakukan secara terhormat dan melin­dungi pekerja yang kurang mendapat perlindungan.

Seperti syarikat teknologi lain, Facebook berbangga de­ngan keterbukaannya terhadap perbincangan dalaman di pejabat namun dalam masa sama, bertegas bagi memastikan perbincangan tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Pekerja boleh berbincang secara bebas dalam Workplace, sebuah platform rangkaian sosial dalaman dan Zuckerberg sendiri terbuka menerima pandangan pekerja yang disuarakan dalam sesi soal jawab mingguan.

Namun, setelah pekerja menjadi semakin lantang me­nyanggah Zuckerberg, kenyataan-kenyataan dalam Workplace mula dibocorkan kepada media dan menjadi masalah buat syarikat.

Perbincangan menjadi semakin hangat selepas Jun, apabila Zuckerberg memutuskan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap hantaran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggunakan frasa terkait dengan keganasan polis. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya