DUBAI: Saudi Aramco, syarikat minyak Arab Saudi menemui dua lapangan minyak dan gas baharu di bahagian utara negara itu.
Saudi Press Agency melaporkan bahawa Menteri Tenaga, Putera Abdulaziz Salman memaklumkan, rizab di lapangan itu belum dapat dipastikan dengan tepat tetapi kedua-duanya telah menghasilkan gas, kondensat dan minyak.
Syarikat itu berkata, gas telah mulai dikesan dari Telaga Hadabat Al-Hajara berhampiran sempadan Iraq dengan kadar pengeluaran harian gas sebanyak 16 juta kaki padu (453.07 juta liter) dan 1,944 tong kondensat.
“Telaga Abraq at-Tulul pula menghasilkan kira-kira 3,000 tong minyak mentah dan 49,000 tong kondensat serta 1.1 juta kaki padu (31.15 juta liter) gas sehari,” katanya lapor Oilprice.com.
Saudi Aramco menyatakan, pihaknya akan menggerudi lebih banyak telaga untuk menilai berapa banyak simpanan yang ada di lapangan tersebut.
Arab Saudi atau pengeluar lain tidak memerlukan lebih banyak pengeluaran minyak pada masa ini, namun penganalisis berpendapat, penemuan kedua-dua lapangan itu dapat menyumbang kepada hasil bukan minyak negara berkenaan.
Banyak minyak yang dihasilkan oleh Saudi Aramco digunakan untuk domestik dan kerajaan berusaha mengurangkan penggunaan minyak menggantikannya dengan gas, sekali gus mendorong peningkatan pengeluaran sumber asli itu.
Menurut Robin Mills, pengasas firma perunding yang berpangkalan di Dubai, simpanan minyak mentah didapati berkurangan jika dibandingkan dengan pengeluaran syarikat itu sebelum ini kira-kira 8.5 juta tong sehari.
“Oleh itu, penemuan gas dapat membantu meningkatkan pengeluaran bukan minyak.
“Sekiranya jumlah dan kos sesuai, ia berguna untuk memenuhi sasaran gas Arab Saudi dan pantai barat yang ketika ini kekurangan gas grid,” katanya.
Arab Saudi memiliki simpanan gas asli kira-kira 303 trilion kaki padu (8,580 juta liter) pada 2017 yang menyumbang empat peratus daripada jumlah global dan menjadikan negara itu mempunyai simpanan gas asli kelima terbesar dunia. Saudi Aramco merupakan satu-satunya pembekal tempatan untuk komoditi berkenaan.
Menurut Worldometers, jumlah itu cukup untuk penggunaan selama 79 tahun pada tahap semasa, dengan kira-kira 3.614 bilion kaki padu (102.34 juta liter) setahun.
Penemuan ‘berkembar’ itu menjadi lebih penting bagi sektor gas Arab Saudi. – AGENSI