TAMPIN: Bermula dengan tekad untuk keluar daripada kekangan kewangan, kini seorang ibu muda boleh berbangga apabila perniagaan minyak wangi diusahakannya semakin mendapat sambutan.
Fezty Edayu Kemel, 31, dari Felda Jelai, Gemas dekat sini berkata, perniagaan minyak wanginya dengan jenama L’amour Exclusive telah terjual di seluruh negara dan kini dia menyasarkan memasuki pasaran negara jiran, Singapura.
“Saya hanyalah seorang suri rumah. Pada masa itu, saya mengandungkan anak ketiga dan memikirkan apa yang boleh saya lakukan untuk membantu suami, Mohd. Fares Rizal Hashim, 32, bagi menambah pendapatan. Saya memulakan perniagaan ini dua tahun lalu dengan modal kira-kira RM900.
“Bermula dengan hanya 20 botol minyak wangi, kini saya mampu mencapai sasaran nilai jualan sebanyak RM300,000 sebulan melalui jualan 10,000 unit minyak wangi. L’amour Exclusive kini mempunyai kira-kira 350 ejen dari seluruh negara termasuki Sabah dan Sarawak. Kami dalam perancangan menembusi pasaran luar negara pula bermula dengan Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Fezty Edayu berkata, pihaknya juga menyasarkan jualan sebanyak RM3 juta pada tahun hadapan berikutan jualan memberangsangkan yang dicatat oleh kesemua ejen L’amour Exclusive sepanjang tempoh lapan bulan tahun ini.
“Sehingga penghujung Ogos lalu, sebanyak RM1.5 juta jualan dicatatkan dan hasil itu tentunya menjana pendapatan kepada ejen-ejen yang rata-ratanya bergelar suri rumah,” katanya.
Jelasnya lagi, dia memilih minyak wangi untuk memulakan perniagaan kerana sangat menggemari bauan minyak wangi mahal semasa remaja dan menuntut di sebuah kolej, namun tidak berpeluang memilikinya.
“Jadi, saya tanamkan tekad suatu hari nanti saya boleh memiliki minyak wangi jenama sendiri dan pada permulaannya saya hanya mereka sendiri kotak minyak wangi melalui perisian Power Point,” katanya.
Kini menurutnya, L’amour Exclusive telah mempunyai premis perniagaan sendiri di Repah, dekat sini yang dikenali sebagai L’amour Exclusive HQ dan merancang untuk membuka dua lagi premis perniagaan iaitu di Kuala Lumpur dan Kelantan. – UTUSAN