Kidex katalis pertumbuhan - Utusan Malaysia

Kidex katalis pertumbuhan

Hasni Mohammad melihat model pembangunan Kulai Iskandar Data Exchange di Sedenak, Johor yang dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tidak dinafikan ekonomi Johor bergantung kepada pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura dengan kuasa membeli terletak pada rakyat negara tersebut.

Namun, ketika Covid-19 me­landa rantau ini, pintu sempadan kedua-dua negara terpaksa ditutup sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi negeri khususnya dalam kala­ngan peniaga kecil.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Yusof Saari berkata, oleh itu Johor perlu mempelbagaikan ekonomi dengan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja iaitu menerusi pembukaan pintu sempadan.

Sehubungan itu, beliau melihat projek Kulai Iskandar Data Exchange (Kidex) merupakan langkah permulaan tersebut bagi mengorak usaha memperbaiki kedudukan ekonomi yang terkesan akibat Covid-19.

“Terletak di Kulai yang merupakan antara tiga lokasi pelaburan terbaik di Johor, maka Kidex adalah usaha awal bagi merintis perencanaan semula ekonomi Johor.

“Selain itu, ia menjadi nilai tambah kepada kedudukan pendapatan Johor selain sebelum ini bergantung kepada limpahan ekonomi Singapura,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Yusof meminta Kerajaan Negeri de­ngan tidak memfokuskan kepada kawasan bandar seperti Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai kerana ia perlu diperluas ke kawasan lain.

“Kita perlu melihat peluang yang ada di Muar, Batu Pahat dan Kluang sama ada melibatkan daripada sudut agro pertanian, hab pendidikan dan pelancongan,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad mengumumkan projek Kidex di Sedenak dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah RM17.5 bilion menerusi syarikat khususnya berkaitan pengurusan data dan perkomputeran.

Projek itu juga bakal menawarkan 1,600 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi maklumat termasuk pekerja separuh mahir dan sokongan.

Kidex yang dibangunkan di atas tapak seluas 301 hektar dimajukan oleh TPM Technopark Sdn. Bhd. (TPM Technopark), syarikat milik Johor Corporation (JCorp), mampu menjadi katalis pertumbuhan industri data.

Sementara itu, Pengerusi Gagasan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Johor, Mohd. Tarmizi A. Razak berkata, pendekatan kerajaan negeri menerusi pemerkasaan pendapatan ekonomi terutamanya ekonomi digital antara langkah proaktif bagi mengurangkan kebergantungan kepada warga Singapura.

Katanya, perkara itu terkandung dalam pelan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor sebagai langkah keluar daripada belenggu pandemik Covid-19 dan memperkasa semula sektor ekonominya.

“Tujuh itu mengariskan bagi menarik pelaburan berimpak tinggi sekali gus memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Johor.

“Segmen tersebut dilihat akan lebih berjaya sekiranya lebih ramai warga belia terlibat secara langsung bagi memastikan peluang pekerjaan diisi sepenuhnya oleh anak jati Bangsa Johor sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya