KUALA TERENGGANU: Kerugian syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dijangka tidak akan menjejaskan pembangunan negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan masih akan membuat perbelanjaan terutama untuk kerja-kerja pembangunan walaupun defisit fiskal kewangan negara bakal meningkat antara 5.8 hingga lapan peratus.
Katanya, Petronas pada masa ini menyumbangkan kurang daripada 20 peratus kepada pendapatan negara.
“Kita lihat unjuran harga minyak pada tahun ini ialah AS$40 (RM165.98) setong dengan harganya yang masih dalam julat kita untuk mencapai sasaran ditetapkan.
“Pada Mac lalu harga minyak pernah jatuh sehingga AS$20 (RM82.99) setong tetapi sekarang keadaan semakin pulih berikutan suasana ekonomi global yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Tengku Zafrul dalam rangka lawatan kerja ke Terengganu sempena program Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 selama dua hari ke negeri ini bermula semalam.
Petronas kelmarin mengumumkan laporan prestasi kewangannya dengan mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 terkesan kejatuhan harga minyak global dan penurunan drastik permintaan disebabkan pandemik Covid-19.
Kali terakhir syarikat minyak milik kerajaan itu rugi adalah pada suku keempat 2015 dengan mencatatkan kerugian berjumlah RM2.69 bilion.
Kerugian besar pada suku kedua itu disebabkan kejatuhan pendapatan sebanyak 42 peratus kepada RM34 bilion berbanding RM59.1 bilion yang dicatatkan dalam suku sama setahun lalu.
Mengambil kira prestasi tersebut, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pembayaran dividen kepada kerajaan bergantung kepada prestasi kewangan Kumpulan.
Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul berkata, hampir RM767 juta bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) telah dinikmati rakyat negeri ini manakala RM257 juta lagi membabitkan kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Dari segi memperkukuhkan ekonomi pula kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM3.8 juta melalui projek-projek kecil,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Petronas akan menyaksikan pemulihan prestasinya pada separuh kedua tahun ini.
Ini kerana katanya, harga minyak dunia dijangka kembali meningkat sehingga tahun hadapan malahan jangkaan boleh mencecah sehingga AS$50 (RM207.47) setong.
“Kerugian Petronas disebabkan kaedah perakaunan rosot nilai dan ia tidak melibatkan aliran tunai. Oleh itu, prestasi Petronas dijangka kembali meningkat pada separuh kedua.
“Selain itu, rizab tunai yang melebihi RM150 bilion turut membolehkan Petronas memenuhi komitmen dividen tahunannya kepada kerajaan selagi ia mampu memenuhi komitmen kewangan, pelaburan dan perbelanjaan modalnya,” kata Ahmed Razman. – UTUSAN ONLINE