KUALA LUMPUR: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) bersama Asian Japan Centre (AJC) dan Japan Design Promotion (JDP) akan bekerjasama dalam meningkatkan pengiktirafan berganda kepada pereka-pereka tempatan.
Pengurus Besar MRM, Prof. Dr. Mohamad Hariri Abdullah berkata, buat masa ini pihaknya sedang menyiapkan deraf atau kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan bersama AJC dan JDP selewat-lewatnya pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
“Tujuan MoU ini sebenarnya untuk kita membantu industri tempatan mendapatkan Good Design Award (G-Mark) dari Jepun, yang mana anugerah ini memerlukan belanja yang banyak.
“Melalui kerjasama ini sekurang-kurangnya industri tempatan boleh menjimatkan kos sebanyak 70 peratus daripada jumlah kos perbelanjaan anugerah itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Malaysia Good Design Award (MGDA) 2019, dekat sini, semalam.
Sebanyak 62 penerima daripada pelbagai industri reka bentuk di Malaysia telah menerima MGDA 2019 yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.
Pengiktirafan MGDA itu telah meningkat daripada 107 produk pada 2015 kepada 326 produk pada 2019.
Tambah Mohamad Hariri, melalui ASJ, syarat kemasukan produk tempatan ke sana adalah produk itu telah dikomersialkan dan tidak mengambil produk syarikat pengeluar peralatan tulen (OEM) untuk dipertandingkan.
“Untuk memohon G-Mark kosnya agak tinggi antara AS$2,000 (RM8,264) dan AS$8,000 (RM33,056). Jadi dengan kolaborasi yang akan dilaksanakan nanti mungkin kosnya menjadi maksimum AS$2,000 (RM8,264) ke AS$4,000 (RM16,528) untuk pihak industri,” katanya.
Katanya, anugerah G-Mark dari Jepun itu juga adalah untuk membantu negara Asia lain untuk berkembang maju dalam industri rekaan seperti Jepun dan Korea. – UTUSAN