Kadar pengangguran semakin pulih - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran semakin pulih

Mustapa Mohamed
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara terus menunjukkan pemulihan positif selepas mencatatkan penurunan kepada 4.7 peratus, Julai lalu berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei dan Jun, 4.9 peratus. 

Dalam masa yang sama bilangan penganggur pada Julai menurun 28,200 orang kepada 745,100 berbanding 773,300 yang direkodkan bulan sebelumnya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan memberitahu, sebilangan besar sektor ekonomi terus mencatatkan peningkatan guna tenaga sejak Jun 2020 dengan sebahagian besarnya dalam sektor perkhidmatan termasuk penginapan, aktiviti makanan dan minuman; kesenian, hiburan dan rekreasi; pengangkutan; aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi seperti e-dagang serta e-hailing. 

Beliau berkata, keadaan pasaran buruh semakin baik disokong oleh aktiviti ekonomi yang makin pulih dengan indeks pengeluaran perindustrian (IPP) merangkumi tiga sektor utama iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik mencatat pertumbuhan positif pada kadar 2.1 peratus pada Julai berbanding bulan yang sama tahun lalu setelah mengalami penguncupan empat bulan berturut-turut sejak Mac 2020. 

Katanya, peningkatan IPP didorong oleh pertumbuhan indeks pembuatan yang berkembang sebanyak 2.9 peratus, namun indeks perlombongan dan indeks elektrik masing-masing susut  3.0 peratus dan 5.1 peratus. 

“Nilai jualan sektor pembuatan turut mengekalkan pertumbuhan positif pada Julai dengan kadar 1.9 peratus kepada RM119.3 bilion daripada RM117 bilion bulan sama tahun lalu disumbangkan oleh produk makanan, minuman dan tembakau yang mencatatkan peningkatan sebanyak 24.9 peratus, produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (14.3 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (8.4 peratus). 

“Pemulihan pasaran buruh dan aktiviti ekonomi adalah selaras dengan keputusan kerajaan membuka semula ekonomi secara beransur-ansur sejak Mei 2020 sekali gus membolehkan lebih banyak perniagaan beroperasi dan kini hampir semua aktiviti ekonomi telah dibuka semula,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya