KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan borong dan runcit negara menyaksikan pemulihan pada Julai lalui selepas mencatatkan jualan sebanyak RM108.7 bilion, semakin pulih kepada -3.5 peratus berbanding -8.4 peratus pada Jun 2020.
Kedudukan tersebut merupakan nilai jualan tertinggi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat penularan Covid-19.
Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, semua subsektor terus menunjukkan pemulihan didorong oleh kenderaan bermotor yang melonjak semula kepada 1.7 peratus berbanding Julai tahun lalu untuk merekodkan RM13.9 bilion.
Dalam masa yang sama, perdagangan runcit turut berada di landasan pemulihan setelah merekodkan -3.8 peratus daripada -9.2 peratus pada Jun lalu, manakala perdagangan borong juga bertambah baik iaitu daripada -8.7 peratus pada Jun kepada -4.5 peratus Julai 2020.
Menyentuh prestasi mengikut subsektor, Mohd. Uzir berkata, jualan kenderaan bermotor merekodkan pertumbuhan tertinggi iaitu 5.8 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu untuk mencapai RM8.1 bilion.
“Pertumbuhan yang memberangsangkan ini adalah berikutan pengecualian cukai jualan yang diumumkan kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Ini diikuti oleh jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal yang mencatatkan nilai jualan RM1.1 bilion sekali gus meningkat 2.8 peratus. Walau bagaimanapun, penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor turun 6.2 peratus untuk merekodkan RM1.6 bilion manakala jualan komponen dan aksesori kenderaan bermotor juga merosot 4.2 peratus kepada RM3.1 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Perdagangan runcit pula mencatatkan pertumbuhan negatif 3.8 peratus disebabkan kejatuhan dalam jualan barangan bukan keperluan iaitu jualan runcit di kedai pengkhususan (-10.8 peratus), jualan runcit barangan kesenian dan rekreasi (-10.5 peratus), jualan runcit peralatan isi rumah (-8.5 peratus) dan jualan runcit kelengkapan maklumat dan komunikasi (-4.5 peratus).
Mohd. Uzir berkata, jualan barangan keperluan pula mencatatkan pertumbuhan positif terutama jualan runcit di kedai bukan pengkhususan merekodkan 2.3 peratus kepada RM16.8 bilion diikuti jualan runcit makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 5.9 peratus kepada RM2.8 bilion.
Beliau berkata, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar turut berkembang 9.9 peratus kepada RM0.4 bilion sementara jualan runcit di gerai dan pasar juga menokok kepada RM0.1 bilion atau 12.4 peratus.
“Subsektor perdagangan borong turut merekodkan kejatuhan -4.5 peratus pada Julai disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran yang masing-masing susut -15.3 peratus dan -8.9 peratus.
“Walau bagaimanapun, jualan borong barangan isi rumah meningkat 4.8 peratus kepada RM10.5 bilion diikuti jualan borong makanan, minuman dan tembakau naik 3.6 peratus kepada RM10.3 bilion. Jual borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup juga berkembang 3.4 peratus untuk menjana jualan RM4.4 bilion,” katanya.
Bagi perbandingan bulanan, jualan perdagangan borong dan runcit terus menunjukkan pertumbuhan positif 5.6 peratus. Kenderaan bermotor mengatasi subsektor yang lain dengan pertumbuhan 14.3 peratus.
Perdagangan runcit juga meningkat RM3 bilion atau 7.1 peratus pada tempoh sama manakala perdagangan borong turut menunjukkan trend peningkatan dengan pertumbuhan bulanan 2.2 peratus atau RM1.1 bilion.
Indeks jualan runcit dalam talian yang menggambarkan aktiviti e-dagang pula turut berkembang dengan merekodkan 34.7 peratus berbanding Julai 2019. – UTUSAN ONLINE