PERMATANG PAUH: Sebanyak 100 daripada keseluruhan 300 unit kediaman di kondominium Evoke Residences yang dibangunkan oleh pemaju terkemuka, UDA Holdings Berhad (UDA) di Taman Pauh Jaya di sini, yang belum terjual, dibuka kepada umum.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany berkata, mereka yang berminat memiliki kediaman di bangunan setinggi 35 tingkat itu digesa berbuat demikian kerana pihaknya dengan kerjasama Maybank Islamic menyediakan pembiayaan inovatif mudah dikenali sebagai HouzKEY.
“Inilah peluang terbaik untuk memiliki hartanah seperti ini kerana jika kita bercakap dari segi sejarah, jarang sekali harga rumah akan turun.
“Menerusi pembelian unit kediaman di kondominium ini juga, pembeli berpeluang menyewa terlebih dahulu sehingga tempoh lima tahun sebelum membelinya bergantung kepada terma dan syarat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Dianggap sebagai kondominium tertinggi di Seberang Perai ketika ini, Evoke Residences yang mencatatkan nilai jualan sebanyak RM141 juta, dibangunkan di atas tanah seluas hampir dua hektar sejak tiga tahun lalu.
Berkeluasan kira-kira 1,100 kaki persegi bagi setiap unit, kediaman dengan tiga bilik tidur itu dijual antara RM494,648 hingga RM541,380 bergantung jenis kediaman, tinggi serta pemandangan lokasi yang disajikan kepada setiap pemilik rumah.
Lokasi yang strategik iaitu tidak jauh dari susur keluar menuju ke Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang serta pelbagai kemudahan untuk penghuni seperti kolam renang, gimnasium, taman permainan, gelanggang tenis, dewan dan sebagainya juga antara faktor penarik Evoke Residences untuk dimiliki sebagai kediaman atau pelaburan.
Dalam pada itu, Mohd. Salem memberitahu, penyerahan kunci untuk pemilik kediaman sedia ada dijangka dilakukan bermula bulan depan. -UTUSAN