KUALA LUMPUR: Etiqa General Takaful Berhad (Etiqa Takaful) mengumumkan pelantikan Shahrul Azuan Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, berkuat kuasa, kelmarin.
Shahrul Azuan yang merupakan Ketua Pegawai Agensi mengambil alih jawatan tersebut daripada Zaharudin Daud bagi mengemudi perniagaan takaful am dan memantau perkembangan Etiqa Takaful.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance, Kamaludin Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati dalam mengalu-alukan Shahrul Azuan.
“Beliau mempunyai pengalaman luas selama 29 tahun dalam industri insurans dan takaful, dengan telah memberikan sumbangan yang besar terhadap perniagaan Etiqa semasa beliau menjadi Ketua Pegawai Agensi sebelum ini.
“Beliau mempunyai rekod prestasi yang memberangsangkan iaitu keupayaan pemulihan perniagaan dan beberapa pencapaian utama termasuk memacu peningkatan dalam pengeluaran Agensi Umum Etiqa sebanyak 61 peratus sejak 2016 di dalam pasaran yang pada masa itu mendatar.
“Malah peningkatan Premium Tahunan Tahun Pertama untuk Agensi Hayat sebanyak 87 peratus dalam tempoh yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihaknya sangat teruja untuk melihat Shahrul Azuan mengemudi komitmen Etiqa Takaful ke peringkat yang lebih tinggi dalam mencipta pengalaman yang Fast and Easy bagi pelanggan, sama ada untuk membeli, mengemukakan tuntutan atau menerima pembayaran. – UTUSAN ONLINE