KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) berjaya meningkatkan nilai ekuiti bumiputera kepada RM5.4 bilion atau 1.5 kali ganda modal dilaburkan, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Yasir Arafat Syed Abd. Kadir.
Nilai tersebut diumumkan bersekali dengan keputusan kewangannya untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 yang turut menyaksikan beberapa kejayaan dapat dicapai Ekuinas sepanjang tahun tersebut.
Syed Yasir Arafat berkata, industri ekuiti persendirian kini makin mendapat tempat di Malaysia, khususnya selepas penubuhan Ekuinas pada 2009.
“Saya percaya rekod prestasi kami memberi gambaran sebenar mengenai pencapaian kami memandangkan mandat pelaburan diberi hanya untuk syarikat Malaysia. Kami kekal fokus terhadap objektif kami dalam membangunkan syarikat tempatan bersaiz sederhana untuk menjadikan mereka peneraju industri serantau.
“Fokus Ekuinas pada 2019 adalah mengukuhkan syarikat-syarikat portfolio melalui pelan penciptaan nilai (VCP) tertentu yang merangkumi penambahbaikan operasi dan kapasiti bagi meningkatkan dan mengoptimumkan prestasi keseluruhan syarikat-syarikat tersebut. Ini, sebagai tambahan bagi mencipta nilai jangka masa panjang untuk memastikan mereka mempunyai asas yang lebih kukuh untuk melangkah lebih jauh dan mengemudi di waktu sukar,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Selain kejayaan meningkatkan nilai ekuiti bumiputera, Dana Langsung Ekuinas (Tranche II) turut mencatatkan Pulangan Kasar Portfolio sebanyak RM582.9 juta yang menjana kadar pulangan (IRR) kasar tahunan 13.5 peratus dan IRR bersih 9.6 peratus.
Walau bagaimanapun, Dana Langsung Ekuinas (Tranche III) mencatatkan Kerugian Kasar Portfolio RM170.5 juta bersamaan dengan IRR kasar tahunan sebanyak 10.8 peratus.
Pada tahun kewangan 2019 juga, Ekuinas telah melaksanakan pelaburan kumulatif dalam 41 syarikat dengan jumlah pelaburan komited sebanyak RM4.1 bilion.
Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, 2019 merupakan tahun bersejarah memandangkan ia melengkapkan usia sedekad Ekuinas.
“Tujuan kami masih sama iaitu menjadi rakan pertumbuhan bagi syarikat peneraju generasi seterusnya di Malaysia sambil menggalakkan penjanaan kekayaan dan penglibatan ekonomi bumiputera yang mampan dan saksama melalui model ekuiti persendirian (PE).
“Prestasi sosial dan komersial kami sepanjang dekad ini membuktikan keberkesanan strategi model PE yang unik dalam mencipta nilai untuk syarikat-syarikat dan pulangan yang dijanakan membolehkan pelaksanaan objektif sosial kami dengan membantu dan menaikkan taraf masyarakat bumiputera,” katanya. – UTUSAN