KUALA LUMPUR: Eksport negara untuk Ogos menunjukkan penurunan selepas susut 2.9 peratus berbanding bulan sama tahun lalu kepada RM79.2 bilion.
Dalam Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Ogos 2020 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, eksport negara untuk tempoh lapan bulan tahun ini pula turut turun 5.8 peratus kepada RM620.64 bilion berbanding lapan bulan pertama 2019.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah dagangan keseluruhan Malaysia untuk Ogos jatuh 4.6 peratus kepada RM145.1 bilion dengan import turut turun 6.5 peratus bernilai RM65.9 bilion.
Walau bagaimanapun, katanya, keputusan itu menyaksikan lebihan dagangan berkembang 19.7 peratus pada kadar RM13.2 bilion berbanding Ogos 2019.
Lebihan dagangan itu, menurut Mohd. Uzir adalah untuk tiga bulan berturut-berturut setelah merekodkan defisit pada April lalu.
“Penurunan eksport didorong oleh eksport domestik yang menguncup 5.2 peratus kepada RM64.6 bilion.
“Walau bagaimanapun, eksport semula yang bernilai RM14.6 bilion mencatatkan peningkatan 8.5 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 18.4 peratus kepada jumlah eksport,” katanya dalam kenyataan semalam.
Penurunan eksport yang direkodkan dalam Ogos itu disebabkan penurunan eksport ke Bangladesh sebanyak RM1.5 bilion; Thailand (RM978 juta); India (RM726.7 juta), Jepun (RM693.9 juta) dan Indonesia (RM541.8 juta).
Namun begitu, eksport ke China dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing meningkat sebanyak RM2.4 bilion dan RM1.1 bilion.
Dalam masa yang sama, import lebih rendah terutamanya dari China bernilai RM1.3 bilion, Korea Selatan (RM998.7 juta), Kesatuan Eropah (RM878.2 juta), Thailand (RM787.6 juta) dan Singapura (RM780.2 juta).
Import lebih tinggi pula dicatatkan dari Taiwan pada kadar RM571.8 juta dan Switzerland (RM398.4 juta).
Produk utama yang menyumbang kepada penurunan eksport adalah gas asli cecair bernilai RM1.5 bilion, barangan perkilangan logam (RM1.2 bilion), kimia dan bahan kimia (RM1.1 bilion) dan keluaran petroleum (RM862.4 juta).
Eksport barangan elektrik dan elektrik serta keluaran getah masing-masing meningkat sebanyak RM2.3 bilion dan RM1.5 bilion.
Sementara itu, penurunan import dicatat bagi kimia dan bahan kimia (RM1.6 bilion), kelengkapan pengangkutan (RM1.5 bilion), keluaran petroleum (RM1.3 bilion) dan barangan besi serta keluli (RM1.2 bilion).
Penurunan import mengikut penggunaan akhir disebabkan barangan perantaraan dan barangan modal dengan import barangan perantaraan turun 5.6 peratus atau RM2.2 bilion kepada RM36.9 bilion.
Barangan modal turut merosot 15.5 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM6.8 bilion. Walau bagaimanapun, import barangan penggunaan mencatatkan kenaikan 2.9 peratus kepada RM6.4 bilion. – UTUSAN