Dagangan agrikomoditi RM82b - Utusan Malaysia

Dagangan agrikomoditi RM82b

Mohd. Khairuddin Aman Razali (tengah) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Sharifah Najmi Shariff Abdul Aziz pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi diPutrajaya, semalam. – utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Sektor agrikomoditi telah mencatatkan jumlah nilai dagangan sebanyak RM82 bilion dan imbangan dagangannya adalah sebanyak RM45.5 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, pendapatan eksport produk-produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah sebanyak RM63.7 bilion atau 14.2 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Kata beliau, nilai eksport komoditi mengalami sedikit peningkatan iaitu 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019.

“Peningkatan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan faktor peningkatan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan sarung tangan getah.

“Nilai eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM33 bilion berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian itu, di sini semalam.

Menurut beliau, eksport produk-produk getah turut meningkat sebanyak 18.3 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini dengan nilai eksport sebanyak RM17.8 bilion.

Beliau menjelaskan, walaupun nilai eksport mengalami peningkatan, kuantiti eksport produk agrikomoditi menunjukkan penurunan sebanyak 12.3 peratus kepada 12.1 juta tan.

“Selain itu, pada suku kedua tahun ini, aktiviti-aktiviti di peringkat huluan dan hiliran sektor agrikomoditi turut menyumbang sebanyak 7.1 peratus atau RM20.6 bilion kepada jumlah keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, pelaksanaan Program Biodiesel B20 (adunan 20 peratus metil ester sawit (PME) dan 80 peratus diesel petroleum) di sektor pengangkutan adalah satu langkah proaktif kerajaan bagi menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik dengan anggaran pertambahan sebanyak 534,000 tan setahun.

Katanya, menerusi pelaksanaan program itu, kira-kira 1.06 juta tan minyak sawit setahun akan digunakan dalam negara dan menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 3.2 juta tan CO2 setara setahun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN