Caj daftar masuk di kaunter AirAsia - Utusan Malaysia

Caj daftar masuk di kaunter AirAsia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: AirAsia melaksanakan caj daftar masuk melalui kaun­ter di beberapa buah negara dan bandar terpilih berkuat kuasa semalam, untuk menggalakkan penggunaan kiosk daftar masuk tanpa sentuhan dan aplikasi mudah alih yang telah dikemas kini baru-baru ini.

Setiap tetamu akan dikenakan caj sebanyak RM20 untuk pe­nerbangan domestik dan RM30 penerbangan antarabangsa.

Para tetamu bagaimanapun tidak perlu membayar caj tersebut apabila mereka mendaftar masuk menggunakan laman web AirAsia.com, aplikasi mudah alih atau kiosk di lapangan terbang.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia, Javed Malik berkata, pihaknya telah melihat respons yang amat baik bagi penggunaan perkhidmatan daftar masuk sendiri melalui laman web, aplikasi mudah alih dan kiosk di lapangan terbang sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, pelaksanaan caj daftar masuk melalui kaun­ter adalah cara untuk mengga­lakkan penggunaan teknologi digital tersebut yang menelan belanja besar, untuk menyokong dan meningkatkan kecekapan operasi dan kemudahan untuk para tetamu.

“Berikutan pandemik Co­vid-19, kemudahan daftar ma­suk sendiri ini menjadi amat penting bagi mengurangkan kontak fizikal antara para tetamu dan kakitangan kami.

“Dalam dua bulan lepas, beribu-ribu tetamu yang melakukan perjalanan penting telah menggunakan prosedur perjalanan tanpa sentuhan kami yang me­rupakan langkah keselamatan dan sekuriti tambahan untuk kesejahteraan dan keselamatan para tetamu dan kakitangan kami,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Javed berkata, AirAsia merupakan antara syarikat penerba­ngan pertama yang memboleh­kan laporan ujian reaksi rantai polimerase (PCR) dipaparkan di laman web AirAsia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

Tambahnya, para tetamu boleh memuat naik laporan PCR mereka atau dokumen perjalanan terpilih dan mendaftar masuk sebelum tiba di lapa­ngan terbang untuk pengalaman perjalanan tanpa sentuhan yang lebih lancar.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya