KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada tahap 1.75 peratus.
BNM dalam kenyataan memberitahu, berdasarkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi, MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif.
Bank pusat berkata, pihaknya terus komited menggunakan alat-alat dasarnya yang bersesuaian bagi mewujudkan keadaan yang menyokong pemulihan ekonomi berterusan.
Kedudukan ekonomi negara yang terus pulih kata BNM, di samping pakej rangsangan fiskal dijangka berterusan pada 2021 disokong oleh pemulihan permintaan luar negeri dan pengembangan perbelanjaan sektor swasta.
“Prospek pertumbuhan ini adalah tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi lebih rendah berpunca terutamanya daripada ketidakpastian berterusan mengenai perkembangan pandemik pada peringkat domestik dan antarabangsa.
“Tekanan inflasi juga dijangka terus sederhana tahun ini dengan purata inflasi keseluruhan dijangka negatif memandangkan harga minyak dunia yang jauh lebih rendah dan berpurata lebih tinggi tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE