Bantuan bersasar, CIMB lulus RM5 bilion - Utusan Malaysia

Bantuan bersasar, CIMB lulus RM5 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Bank) telah meluluskan hampir RM5 bilion di bawah Program Bantuan Bersasar CIMB (TAP) dan lain-lain bantuan kewangan kepada lebih 25,000 pelanggan.

CIMB dalam kenyataannya berkata, sejak awal Ogos, CIMB secara proaktif telah menghubungi 330,000 individu dan 10,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berkemungkinan paling terjejas oleh Covid-19.

Katanya, CIMB telah berun­ding dan turut menasihati mereka untuk menghantar permohonan lanjutan bantuan kewangan kepada pihak bank.

“Bagi pelanggan PKS, CIMB telah meluluskan lebih RM2.5 bilion untuk Program Bantuan Bersasar CIMB, hampir RM700 juta di bawah Tabung Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (SRF/SRF-i) dan RM300 juta untuk kemudahan bantuan tambahan (CIMB BRF/BRF -i) oleh CIMB sendiri.

“Pihak bank juga komited sepenuhnya dalam menyokong skim pembiayaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM1 bilion yang baru dilancarkan oleh Kerajaan untuk warga PKS,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut CIMB, semua cawangan dan pusat pembiayaan auto di seluruh negara akan dibuka pada hujung minggu (19 dan 20 September) dan (26 dan 27 September) bagi menawarkan program bantuan kewangan kepada pelanggan yang masih terjejas setelah moratorium pinjaman enam bulan tamat pada 30 September 2020.

“Pembukaan cawangan-ca­wa­ngan dan pusat pembiayaan auto tersebut adalah untuk memberi bantuan serta membolehkan peminjam berbincang secara bersemuka bersama pihak bank supaya dapat lebih memahami pilihan bantuan pembayaran yang disediakan.

“Ini termasuk pelanggan yang layak mendaftar ke dalam TAP dan para peminjam yang tidak terjejas oleh wabak Co­vid-19 tetapi masih memerlukan bantuan pembayaran,” katanya.

Jelasnya, semua cawangan CIMB akan beroperasi mulai pukul 9.30 pagi hingga 1 petang pada Sabtu dan Ahad di kedua-dua hujung minggu tersebut. Sementara, pusat pembiayaan auto CIMB juga akan dibuka dari 9 pagi hingga 1.30 petang pada Sabtu dan Ahad bagi kedua-dua hujung minggu itu bermula dari 19 September 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya