KUALA LUMPUR: Angkasan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan menganjurkan Karnival Jualan Koperasi dan Harga Patut pada Sabtu dan Ahad ini di Kuching, Sarawak.
Karnival itu bertujuan membantu komutiti setempat mendapatan barangan keperluan harian dengan harga lebih kompetitif dan berpatutan, sekali gus meringankan beban kewangan mereka.
Menurut Angkasa, karnival itu bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
“Angkasa sentiasa prihatin dengan isu kenaikan kos sara hidup dan masyarakat yang terkesan pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.
“Sebagai badan koperasi apeks yang diiktiraf oleh kerajaan, Angkasa sedar akan tanggungjawabnya dalam memakmurkan ekonomi masyarakat selari dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat.
“Oleh sebab itu, Angkasa mengambil inisiatif mewujudkan Program BA100 iaitu merupakan program e-dagang
yang mengumpulkan belian barang asas secara pukal dari kedai koperasi kepada pembekal berdaftar menerusi Angkasa yang dapat memberi manfaat diskaun borong kepada kedai koperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Angkasa, BA100 mendapat sokongan kerajaan dan didokong oleh Kementerian Pembangunan
Usahawan dan Koperasi (MEDAC) serta digerakkan secara bersama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Institut Koperasi Malaysia.
“Angkasa menyasarkan program BA100 dapat membantu tiga juta isi rumah anggota koperasi dalam mengurangkan kos sara hidup menjelang 2021,” katanya. – UTUSAN