TikTok: Mahkamah tolak sekatan - Utusan Malaysia

TikTok: Mahkamah tolak sekatan

CUBAAN Presiden Donald Trump untuk menyekat muat turun TikTok di AS telah ditolak Mahkamah Persekutuan negara itu. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah menolak sekatan dilakukan kerajaan pimpinan Presiden, Donald Trump terhadap muat turun aplikasi TikTok yang dimiliki syarikat China, ByteDance.

Menurut laporan Sputnik, dokumen mahkamah yang disiarkan Axios semalam menunjukkan sekatan itu sepatutnya berkuat kuasa malam tadi, namun Hakim Carl Nichols memberikan perintah awal seperti yang diminta ByteDance supaya TikTok tetap boleh dimuat turun di AS.

“Kami gembira mahkamah bersetuju dengan hujah kami dan mengarahkan perintah me­larang sekatan terhadap aplikasi TikTok.

“Kami akan terus mempertahankan hak untuk kepentingan pekerja dan komuniti,” kata TikTok dalam kenyataan.

Kerajaan AS sebelum ini mengatakan muat turun aplikasi TikTok di App Store dan Google Play akan disekat bermula 20 September dan kesemua operasi TikTok AS turut diharamkan pada 12 November depan ke­cuali syarikat itu menyerahkan ekuiti kawalan tempatan dan teknologi kepada syarikat AS.

Berdasarkan kepada dokumen mahkamah itu, Hakim Nichols bagaimanapun menolak permintaan TikTok untuk menangguhkan larangan pada 12 November depan.

Jabatan Perdagangan AS semalam mengatakan bahawa pihaknya telah mengambil langkah segera untuk mematuhi perintah tersebut.

“Pada 27 September, Mah­kamah Daerah Columbia telah memberikan perintah awal seluruh negara terhadap pelaksanaan Perintah Eksekutif (EO) 13942 terhad kepada pengenalpastian bagi urus niaga terlarang dengan TikTok atau ByteDance yang melibatkan mana-mana penyediaan perkhid­matan untuk mengedarkan atau mengekalkan aplikasi TikTok untuk dimuat turun.

“EO terus konsisten mematuhi undang-undang dan mempromosi kepentingan keselamatan negara yang sah. Kerajaan akan mematuhi perintah tersebut,” kata Jabatan Perdagangan AS.

Larangan Trump terhadap TikTok pada awalnya ditetapkan pada 20 September tetapi ditangguhkan ke 12 November memandangkan kerajaan memberi jalan keluar kepada TikTok untuk dimiliki syarikat AS.

Presiden AS itu berkata, syarikat perisian Oracle dan gergasi runcit, Walmart dalam perbincangan akhir bagi mendapatkan kawalan terhadap ekuiti dan teknologi TikTok.

ByteDance bagaimanapun tetap berkeras untuk mempertahankan 80 peratus kepen­tingan dalam versi TikTok yang distruktur semula itu.

Trump berulang kali mengancam untuk melarang aplikasi TikTok di AS dengan alasan kebimbangan tinggi mengenai dakwaan bahawa kerajaan China mengintip data pengguna di negara berkenaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya