KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih RHB Bank Berhad (RHB Bank) susut 22 peratus kepada RM971.7 juta bagi separuh pertama (1H) 2020 berbanding RM1.25 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatannya dalam tempoh dilaporkan turun 5.7 peratus kepada RM3.32 bilion berbanding RM3.52 bilion pada separuh pertama 2019.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB Banking Group, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, penurunan pendapatan itu disebabkan oleh kerugian bersih ‘one off’ sebanyak RM392.4 juta melalui peruntukan pinjaman moratorium yang diberikan kepada pelanggan dan peruntukan kerugian kredit yang lebih tinggi.
Pendapatan berasaskan dana bersih dan pendapatan bukan dana yang lebih tinggi, ditambah dengan perbelanjaan operasi yang lebih rendah membantu mengurangkan kejatuhan pendapatan.
“Kumpulan telah memberikan moratorium pembayaran balik automatik untuk pinjaman dan pembiayaan kepada pelanggan individu dan PKS pada Mac lalu serta pilihan untuk memilih moratorium pembayaran balik kepada pelanggan lain untuk mengurangkan kesan pandemik Covid-19.
“Hasilnya, kumpulan telah merekodkan kerugian bersih sebanyak RM392.4 juta bagi sewa beli dan pembiayaan peribadi,” katanya.
Khairussaleh berkata, moratorium yang berakhir pada 30 September ini akan menyebabkan pelanggan mengalami kesukaran untuk membuat bayaran selepas tempoh moratorium.
“Kami menggesa mereka untuk menghubungi bank dengan kadar segera untuk berbincang berkenaan bantuan bayaran balik,” katanya.
Ujarnya, daripada perspektif perniagaan pula, tahun ini akan kekal mencabar.
“Fokus kami adalah untuk meneruskan strategi lima tahun FIT22 dengan membuat perubahan kepada inisiatif-inisiatif utama untuk menyesuaikan strategi Kumpulan dengan perubahan tingkah laku pelanggan terutama sekali dalam norma baharu ini,” katanya.
Tambah beliau, walaupun semua sedang mengalami situasi yang tidak pernah dilalui sebelum ini, pihaknya akan terus membina atas kekuatan yang sedia ada untuk mencipta nilai bagi semua pihak berkepentingan. – UTUSAN ONLINE