KUALA LUMPUR: Pelaksanaan adaptasi teknologi generasi kelima (5G) mampu menyumbang sehingga RM12.7 bilion kepada ekonomi negara bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Malah, kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER ) awal tahun ini juga mendapati adaptasi 5G akan mewujudkan lebih 39,000 pekerjaan pada masa hadapan.
Namun, kisah seorang remaja di Sabah yang terpaksa memanjat pokok semata-mata mahu mendapatkan talian internet untuk menduduki peperiksaan universiti menunjukkan jurang yang masih jauh bagi kemudahan jalur lebar di kawasan pedalaman dan bandar.
Dalam hal ni, Telekom Malaysia Bhd. (TM) komited untuk menyediakan perkhidmatan tersebut, seiring tanggungjawabnya sebagai syarikat milik kerajaan (GLC) bagi memastikan semua rakyat mampu menikmati kemudahan itu walau di mana jua mereka berada.
“Saya yakin kami boleh memikul tanggungjawab berkenaan sekiranya berjaya mendapatkan spektrum ini (700 MHz) kerana kami mempunyai keupayaan un tuk menyediakan perkhidmatan 5G,” kata Ketua Pegawai Strategi TM, Tengku Muneer Tengku Muzani dalam temu bual dengan beberapa media baru-baru ini.
Katanya, TM perlu diberi peluang mengadaptasi teknologi 5G bagi memastikan rakyat menikmati rangkaian lebih baik dan pantas.
“Jika diukur kepada keupayaan syarikat dan pendigitalan di seluruh negara, sebenarnya tidak ada satu pun syarikat yang boleh melaksanakannya (5G) secara sendirian. Jadi, setiap peserta perlu mengambil bahagian dan kami tidak mahu infrastruktur ini bertindih. Berkongsi infrastruktur adalah perkara biasa dalam kalangan pemain industri.
“Apa yang menjadi matlamat adalah untuk memastikan isi rumah yang tidak mendapat akses sebelum ini mampu menikmati kemudahan 5G ini,” katanya.
TM memiliki infrastruktur kabel gentian optik melebihi 560,000 kilometer (km) bagi membolehkan konglomerat itu menyediakan perkhidmatan 5G sekiranya mendapat kepercayaan dari kerajaan selain komited untuk membangunkan infrastruktur yang memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0.
Sebelum ini, syarikat telekomunikasi itu diberi tanggungjawab mengadaptasi projek jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan jalur lebar sub bandar (SUBB) pada 2008 serta menerajui pelbagai projek termasuk penyeragaman jalur lebar dan migrasi Unifi , menaik taraf lebih 900,000 pelanggan dari rangkaian tembaga kepada jalur lebar berkelajuan tinggi di seluruh negara dan menawarkan lebih 300,000 pelanggan di kawasan fiber.
“Sehingga kini, kami memiliki lebih tiga juta port dan menyumbang kepada peningkatan penembusan jalur lebar bagi setiap 100 penduduk iaitu dari 16.5 pada 2010 kepada 131.7 pada tahun lalu,” katanya.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pihaknya akan mengumumkan secepat mungkin agihan spektrum 700MHz memandangkan kepentingannya kepada negara.
Pada 15 Mei lalu, TM adalah antara lima syarikat telekomunikasi terpilih bagi peruntukan spektrum tersebut bersama Altel, Celcom, Digi dan Maxis.
Bagaimanapun dua minggu kemudian Kementerian Komunikasi dan Multimedia membatalkan keputusan tersebut setelah ia dipersoalkan pelbagai pihak kerana tidak dilaksanakan secara tender terbuka.
Spektrum 700 MHz itu secara dasarnya amat penting kerana ia membolehkan pemegang lesen meliputi kawasan yang lebih luas daripada pangkalan stesen dan mengurangkan pembinaan banyak stesen dan menara.
Perjalanan teknologi 5G di Malaysia bermula dengan penubuhan Pasukan Khas 5G Nasional pada November 2018 terdiri daripada 114 ahli membabitkan penyedia perkhidmatan, para akademik, kementerian dan agensi.
Untuk itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengenal pasti pelaksanaan 5G nasional akan dibangunkan pada spektrum frekuensi 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz dengan penawaran awal menggunakan dua jalur pertama yang akan diurus oleh konsortium pelbagai pemegang lesen.
Januari lalu, TM dengan kerjasama Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Lembaga Pembangunan Langkawi melaksanakan penggunaan 5G di Langkawi sebagai sebahagian daripada Projek Demonstrasi 5G (5GDP) yang dijalankan oleh SKMM.
Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, TM mendapati kadar penggunaan internet meningkat sekitar 40 hingga 60 peratus, sekali gus memberi keyakinan kepada syarikat telekomunikasi itu untuk mencatat prestasi kewangan yang lebih baik bagi suku kedua tahun ini, yang akan diumumkan akhir Ogos ini.
“Kami juga menyaksikan pertambahan jumlah pelanggan untuk internet berkapasiti 300 mbps. Ini kerana pengguna mulai sedar mengenai keperluan jalur lebar di rumah dengan kapasiti internet lebih tinggi.
“Tetapi, penggunaan prabayar pula menurun apabila majoriti mula memilih pasca bayar namun masalahnya data internet yang diberikan tidak mencukupi apa lagi kesalinghubungan bukan lagi sesuatu yang baik untuk dimiliki tapi menjadi satu kemestian,” katanya.
Bagi tempoh suku pertama berakhir 31 Mac, keuntungan selepas cukai dan kepentingan tanpa kawalan (PATAMI) TM susut kepada RM152.5 juta, 50.5 peratus lebih rendah berbanding RM308.3 juta yang diraih pada suku sama tahun sebelumnya.