KUALA LUMPUR: Kopi Wonda memperkenalkan empat varian terhad sempena Hari Kopi Antarabangsa Wonda dengan menawarkan cita rasa tempatan yang disusun mengikut standard global.
Empat varian kopi bersaiz 240 mililiter (ml) tersebut ialah Kopi Edisi Sarawak yang boleh didapati di kedai serbaneka 7-Eleven, Edisi Johor di Kedai Mesra Petronas, Edisi Pulau Pinang di Shell Select dan Edisi Kelantan di kedai serbaneka myNEWS serta di pasar raya Tesco bagi pek empat tin khas pelbagai jenis.
Oleh kerana varian itu ditawarkan untuk masa terhad sahaja, peminat Kopi Wonda harus mendaftar masuk dengan peruncit terdekat sebelum produk tersebut habis.
Pelbagai promosi menarik sempena sambutan Hari Kopi Antarabangsa Wonda yang dianjurkan buat tahun ketujuh berturut-turut dalam suasana sambutan ulang tahun kemerdekaan.
Dalam situasi norma baharu, Hari Kopi Antarabangsa Wonda membawakan sesuatu yang berbeza untuk merapatkan hubungan, namun pada masa sama mematuhi penjarakan fizikal.
Selain itu, Kopi Wonda turut membawakan konsep persampelan kopi tanpa sentuh dengan meletakkan peti sejuk berisi produk Kopi Wonda di lokasi terpilih seperti universiti, pejabat, stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT).
Peti sejuk itu akan terbuka secara automatik pada pukul 3 petang, memandangkan kajian menunjukkan ketika itu rakyat Malaysia mangalami fasa Blues 3pm yang mana tahap tenaga berada pada paras terendah selepas makan tengah hari dan memerlukan sesuatu yang menyegarkan.
Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif Etika, Santharuban T. Sundaram berkata, dalam situasi sekarang, ramai yang merindukan rasa kopi kegemaran dari kampung halaman dan suasana berkumpul bersama sahabat handai di kafe atau kedai kopi, ia mengembalikan nostalgia saat lalu.
“Kebiasaannya, persampelan kopi dilakukan oleh jurujual, namun kami berpandangan cara tersebut tidak sesuai ketika ini.
“Kami cuba membangunkan idea inovatif bagi menangani isu ini dan membawakan produk kepada pelanggan dan pada masa sama, mengekalkan jarak selamat menerusi persampelan tanpa sentuh ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Kopi Wonda turut menawarkan promosi sehingga 31 Ogos ini dengan pembelian dua tin Kopi Wonda 240ml pada harga RM4 di myNEWS, manakala pembelian dua tin kopi itu di Kedai Mesra Petronas berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM50,000.
Pelanggan yang membeli dua tin di Shell Select pula berpeluang mendapat paket percubaan Kopi Premium tiga dalam satu dan pembelian dua bungkus tiga dalam satu di platform Shopee dan Lazada pula berpeluang mendapat empat tin Kopi Tarik.
Manakala pembelian satu Kopi Premium tiga dalam satu di pasar raya Aeon, Billion, Ong Tai Kim, Tesco, TF Value Mart dan Village Grocer akan berpeluang mendapat harga promosi serendah RM10.50 sehingga 13 September ini. – UTUSAN ONLINE