KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 tahun ini, Volvo Car Malaysia melancarkan Kempen Merdeka Volvo 2020 menerusi tiga tawaran istimewa yang tertumpu kepada tiga model sedan iaitu Volvo S60 T8 R-Design, Volvo S90 T8 Incription Plus dan Volvo S90 T8 Special Edition.
Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Nalin Jain berkata, ketiga-tiga model sedan itu hadir dengan tiga tawaran tambahan iaitu insurans percuma tahun pertama, pakej optimum Polestar percuma dan servis penyelenggaraan percuma selama lima tahun.
Katanya, kesemua tawaran itu juga meliputi pelepasan cukai jualan semasa yang diumumkan kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
“Sempena bulan yang paling berjaya sejak permulaan Volvo Car Malaysia pada 1999 di mana 286 unit terjual bulan lalu, kami berharap Kempen Merdeka Volvo 2020 ini dapat mendorong rakyat Malaysia mempertimbangkan faedah tambahan memiliki sebuah kereta yang berkuasa dan selamat.
“Sebagai jenama automotif, kami komited menjadikan jalan raya lebih selamat bagi pemandu dan penumpang melalui ciri keselamatan serta inovasi terkemuka yang telah direka dengan teliti untuk kereta kami.
“Melalui legasi kami di Malaysia dan warisan dari Sweden, kami ingin terus memberikan pengalaman lebih selamat, berdaya tahan dan premium untuk generasi Malaysia akan datang,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
Tiga tawaran istimewa di bawah Kempen Merdeka Volvo 2020 terdiri daripada insurans percuma tahun pertama, pakej optimum Polestar percuma dan servis penyelenggaraan lima tahun percuma masing-masing bernilai RM11,000; RM5,250 dan RM9,200 untuk setiap kereta.
Sebagai tambahan, pelanggan kad kredit Maybank juga berhak mendapat Pelan Ansuran Ezypay 0% sehingga RM30,000 merangkumi 10 kali Maybank TreatsPoints. – UTUSAN ONLINE