PORT DICKSON: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Berhad (Koop Sahabat) menyasarkan untuk menambah 25 cawangan Sahabat Ar-Rahnu menjelang 2024.
Menurut Bendahari Koop Sahabat, Hartati Abdul Jalil, sehingga kini Sahabat Ar-Rahnu mempunyai 17 cawangan di Semenanjung Malaysia.
Katanya, dalam masa terdekat pihaknya akan membuka dua cawangan lagi iaitu di Bachok, Kelantan dan Ayer Keroh, Melaka dijangka mula beroperasi pada September dan Oktober ini.
“Koop Sahabat akan menggembleng semua sumber dan keupayaan pengurusan secara profesional dan optimum.
“Ia bagi membolehkannya berkembang sehingga mempunyai 42 cawangan Sahabat Ar-Rahnu menjelang 2024,” katanya semasa Majlis Perasmian cawangan Sahabat Ar-Rahnu Port Dickson di sini semalam.
Majlis itu dirasmikan oleh Pengarah Wilayah Persekutuan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Amran Abd. Kadir.
Tambah Hartati, Koop Sahabat bercadang untuk membuka cawangan di Sabah dan Sarawak pada tahun depan.
“Kami bukan sahaja fokus strategi untuk memaju dan mengembangkan lagi produk Ar-Rahnu malah kami juga melihat kepentingan membuka cawangan khusus bagi Ar-Rahnu.
“Kepentingan membuka cawangan bertujuan promosi dan capaian dapat dibuat dengan lebih berkesan di dalam melaksanakan pelan strategik ini,” katanya.
Dalam pada itu jelasnya, Koop Sahabat kini dalam proses menukarkan konsep akad Ar-Rahnu kepada Akad Tawarruq. – UTUSAN ONLINE