HONG KONG: Saham-saham di Asia Pasifik didagangkan lebih tinggi semalam selepas pasaran saham S&P 500 di Wall Street, merekodkan paras tertinggi, semalam.
Saham di Jepun, antara pasaran utama di rantau itu menunjukkan kenaikan dengan Nikkei 225 melonjak 1.43 peratus manakala indeks Topix meningkat 1.3 peratus.
Saham China turut meningkat pada awal sesi dagangan, dengan indeks komposit Shanghai naik 0.66 peratus dan Shenzhen naik 0.779 peratus.
Indeks Hang Seng Hong Kong pula naik kira-kira 0.1 peratus lebih tinggi manakala Kospi Korea Selatan juga meningkat 1.06 peratus.
Saham di Australia juga naik lebih tinggi, dengan S&P 500/ASX 200 meningkat kepada 0.52 peratus. Secara keseluruhan, indeks MSCI Asia Jepun didagangkan 0.38 peratus lebih tinggi.
Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat wakil perdagangan Amerika Syarikat (AS) yang membuat panggilan kepada wakil Perdana Menteri China, Liu He pada Isnin, pihaknya telah membincangkan pelaksanaan perjanjian perdagangan fasa satu antara kedua-dua negara.
Perbualan itu disahkan oleh agensi media China, Xinhua.
Menurut Wakil Perdagangan AS (USTR), kedua-dua pihak melihat kemajuan dan komitmen masing-masing untuk mengambil langkah-langkah yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan perjanjian.
Dalam perkembangan korporat, saham Takeda Pharmaceutical Jepun meningkat 0.72 peratus dalam perdagangan pagi semalam setelah syarikat itu mengumumkan penjualan Unit Perniagaan Penjagaan Kesihatan Pengguna Jepun ke Blackstone dengan harga 242 bilion yen Jepun (AS$2.28 bilion) (RM9.51 bilion) kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutif, Takeda Christophe Weber memaklumkan keputusan syarikat untuk menjual unit over-the-counter (OTC) Jepun disebabkan kesukaran syarikat farmasi untuk terus melabur dalam perniagaan OTC dalam masa sama berusaha membangunkan ubat baharu untuk penyakit yang lebih serius.
Sementara itu, indeks S&P 500 meningkat satu peratus kepada 3,431.28 dan mencapai tahap tertinggi sepanjang masa kelmarin dan menandakan penutupan pertamanya di atas 3,400 mata.
Purata indeks perindustrian Dow Jones menokok 378.13 mata atau 1.4 peratus, mengakhiri dagangannya pada 28.308.46 mata kelmarin.
Komposit Nasdaq pula menambah 0.6 peratus ditutup pada 11,379.72 untuk mencatatkan rekod baharu.
Yen Jepun pula diniagakan pada 105.92 berbanding dolar setelah berada di bawah 105.5 minggu lalu, manakala dolar Australia naik kepada AS$0.7174 (RM2.99) berbanding AS$0.72 (RM3) kelmarin.
Harga minyak berubah-ubah sewaktu sesi dagangan pagi dengan penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.18 peratus kepada AS$45.21 (RM188.53) setong manakala niaga hadapan minyak mentah AS WTI, turun 0.16 peratus kepada AS$42.55 (RM177.43) setong. – AGENSI