Ribut Marco, Laura ancam harga minyak - Utusan Malaysia

Ribut Marco, Laura ancam harga minyak

SEBUAH kapal tangki minyak melalui Selat Aransas, Teluk Mexico selepas mengisi muatan di Pelabuhan Corpus Christi, Texas. Ribut yang dilaporkan melanda Teluk Mexico menjejaskan operasi pengeluaran minyak di rantau berkenaan. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Ribut taufan Marco dan Laura yang melanda Te­luk Mexico menyebabkan penutupan operasi pengeluaran minyak di rantau itu, sekali gus meningkatkan harga minyak selain susulan pandemik Covid-19.

Penanda aras minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI), naik 28 sen atau 0.66 peratus, kepada A$42.62 (RM177.73) setong manakala minyak mentah Brent naik 78 sen atau 1.76 peratus, kepada AS$45.13 (RM188.19) setong.

Penganalisis dari Again Capital, John Kilduff berkata, permintaan bahan bakar petrol dan diesel semakin merosot susulan ancaman dua taufan itu, sekali gus yang jarang-jarang berlaku.

Ribut Marco merupakan taufan yang pertama menyerang pada malam Ahad lalu, disusuli ribut Laura yang semakin mengganas dan mengancam teluk itu.

Doug Leggate dari Bank of America pula berkata, pihaknya melihat potensi yang lebih rendah dan memberi kesan yang berlanjutan terhadap minyak mentah.

“Serangan ribut juga menyebabkan harga minyak dan penapisan margin menjadi sederhana dalam jangka pendek,” katanya.

Sehingga Ahad lalu, kira-kira 57.6 peratus pengeluaran minyak luar pesisir di Teluk Mexico telah ditutup atau kira-kira 1.07 juta tong sehari, menurut data kerajaan AS.

Penggerak utama untuk harga minyak terus turun ialah permintaan yang belum pulih susulan pandemik koronavirus serta tindak balas pengeluar di seluruh dunia terhadap kejatuhan harga komoditi itu.

Ketua Pemasaran Minyak dari Rystad Energy, Bjornar Tonhaugen berkata, penurunan produksi minyak memberi kesan kepada para pedagang yang melihat pengeluaran global meningkat dalam beberapa ming­gu terakhir, di tengah-­tengah pemulihan permintaan.

Niaga hadapan gas asli Henry Hub juga menunjukkan pening­katan dengan kontrak penghantaran September meningkat 3.64 peratus kepada AS$2.53 (RM10.55) per juta unit termal Britain.

Kira-kira 44.6 peratus pengeluaran gas asli di Teluk Mexico kini tidak berfungsi, yang telah mendorong kenaikan harga.

Namun Ketua Ahli Meteorologi di Bespoke Weather Services, Brian Lovern memberitahu, kenaikan itu mungkin tidak lama.

“Jika ribut berterusan membadai, akan merugikan pengeluaran gas asli cecair (LNG) pada masa akan datang, sekali gus menyebabkan pengurangan permintaan yang ketara, malah jika ribut melintasi jauh ke arah barat, ia akan turut memberi impak ke wilayah Houston / Galveston,” katanya.

Niaga hadapan petrol naik 5.86 peratus Isnin lalu didagangkan pada AS$1.36 (RM5.67), tahap tertinggi sejak 6 Mac. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya