Qantas umum rancangan kurangkan 2,500 pekerja - Utusan Malaysia

Qantas umum rancangan kurangkan 2,500 pekerja

QANTAS masih berusaha menyelamatkan operasinya yang terjejas teruk akibat Covid-19.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas mengumumkan rancangan untuk mengurangkan 2,500 lagi pekerjanya.

Pengumuman itu dibuat selang beberapa hari syarikat penerbangan negara itu meng­umumkan kerugian besar dise­babkan permintaan menjuman akibat Covid-19.

Qantas dan penerbangan tambang murahnya, Jetstar mengumumkan mereka akan membuat penyumberan luar bagi operasi lapangan di semua lapangan terbang domestik, sehingga ke satu tempoh ditetapkan kelak.

Langkah tersebut dibuat selepas banyak pengumuman bertindih dibuat sebelum ini ketika syarikat terbabit cuba me­ngurangkan kos berjumlah AS10 bilion (RM40.2 bilion) dalam usaha berdepan ‘tempoh paling sukar’ sepanjang 99 tahun penubuhannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Domestik Qantas, Andrew David berkata, rancangan itu dijangka mampu memberi penjimatan sebanyak AS$72 juta (RM300.15 juta) setahun kepada syarikat.

“Ketika ini, kapasiti domestik kami sepanjang tempoh pra-Covid adalah sebanyak 20 peratus dan penerbangan antarabangsa dijangka pulih dalam tempoh bertahun lagi.

“Kita tahu sekatan penerbangan akan dilonggarkan secara berperingkat, namun permintaan pasaran adalah perkara berbeza,”katanya.

David berkata, lebih 200 pesawat Qantas telah didaratkan selepas perolehan syarikat susut 82 peratus bagi tempoh antara April dan Jun lalu.

Pesaing utama Qantas, Virgin turut mengambil tindakan serupa pada April lalu sejurus selepas Australia menutup sempadannya kepada penerbangan antarabangsa, manakala pelancongan domestik turut merosot.

Virgin dilaporkan turut menutup syarikat penerbangan tambang murahnya, Tigerair Australia selain memberhentikan 3,000 kakitangan, menje­lang pelancarannya semula di bawah pemilik baharu, syarikat ekuiti swasta Amerika Syarikat, Bain Capital.

Sebahagian besar wilayah di Australia, masih dalam pe­rintah berkurung dan hampir keba­nyakan pengembaraan dihadkan selepas negara itu merekodkan kira-kira 25,000 kes Covid-19 dengan 525 kematian setakat ini.

Pegawai kerajaan berkata, Australia akan membuka semula sempadannya kepada masyarakat antarabangsa selepas vaksin Covid ditemui. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya