KUALA LUMPUR: Proton Holdings Berhad (Proton) menembusi pasaran Kenya apabila mengeksport sebanyak 30 Proton Saga ke negara itu baru-baru ini.
Penghantaran secara pemasangan tempatan (CKD) itu dibuat oleh syarikat rakan kongsi Proton, Simba iaitu konglomerat pelbagai perniagaan yang mempunyai sejarah panjang dalam penjualan dan pengalaman pemasangan industri automotif.
Proton dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat setelah perundingan terperinci dengan Simba dan pemasangan kereta Proton di negara itu akan mendorong aktiviti pembuatan rakyat Kenya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, selain kenderaan pemasangan tempatan membayar cukai yang lebih rendah, unit CKD juga dijangka akan mendorong pembangunan industri pembuatan automotif Kenya.
Beliau berkata, Proton bagaimanapun akan tetap mengukuhkan kedudukan domestik, selain ingin dikenali sebagai pembuat kenderaan antarabangsa.
“Oleh demikian, produk kami perlu berada di bandar lain seperti Bangkok, Islamabad, Keherah dan kini, Nairobi.
“Di peringkat negara, usaha ini akan meningkatkan nilai perdagangan antara Malaysia dan Kenya serta menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan di industri automotif Kenya,” katanya dalam kenyataan itu.
Majlis itu juga dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia, Francis N. Muhoro.
Muhoro dalam ucapannya berharap lebih banyak syarikat Malaysia seperti Proton menerokai peluang pelaburan di Kenya sejajar dengan dasar pandang ke Timut negara berkenaan.
“Malaysia dan Kenya berkongsi banyak persamaan, dari tanah jajahan ke usaha kami untuk membangunkan negara masing-masing. Proton bukan sahaja menjejak ke negara dengan populasi 51 juta orang, tetapi juga pintu masuk ke benua Afrika yang mempunyai pasaran berpotensi sebanyak 1.3 bilion orang.
“Oleh itu, saya berharap ini menjadi permulaan kepada lebih banyak perdagangan antara dua negara,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE