Petronas bincang beli DoublePoint Energy - Utusan Malaysia

Petronas bincang beli DoublePoint Energy

Petronas menyatakan, ia secara konsisten mengekalkan dasar kewangan konservatif, disiplin modal yang ketat dan memberi keutamaan kepada pengoptimuman kos. –GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petronas Bhd. dilaporkan sedang mengadakan perbincangan awal me­ngenai pembelian syarikat penggerudian minyak syal Permian Basin, DoublePoint Energy LLC.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber, perbincangan masih di peringkat fasa awal sekali gus tiada jaminan sekiranya satu urus niaga bakal berlaku.

Jelas sumber itu, sekiranya perjanjian pengambilalihan itu diteruskan dan menjadi kenya­taan, ia dijangka bernilai berbi­lion dolar Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Petronas ketika dihubungi Rabu lalu enggan memberi komen mengenai perkara itu, jelas laporan itu.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama DoublePoint Energy, Cody Campbell yang turut enggan mengulas mengenai mana-mana pembida sambil berkata, syarikat itu tidak melantik mana-mana institusi perbankan untuk menasihatkannya berhubung potensi penjualan.

“Kami mula melihat tanda-tanda kebangkitan pasaran pengambilalihan dan penjualan (A&D) serta terus optimis de­ngan hala tuju kumpulan,” katanya dalam laporan tersebut.

Awal tahun ini, Chevron Corp. yang telah memuktamadkan pengambilalihan Noble Energy Inc. bernilai AS$5 bilion (RM20.88 bilion) telah meningkatkan harapan kebangkitan semula urus niaga sektor tenaga AS yang terkesan akibat penurunan harga minyak disebabkan pandemik Covid-19.

Noble Energy dan penasihatnya mengadakan perbincangan dengan 10 syarikat lain sebelum bersetuju untuk dibeli oleh Chevron yang memberi penekanan kepada kebanyakan operator untuk bergabung.

Namun perjanjian yang dilakukan Chevron itu menunjukkan pembeli tidak mahu membayar harga premium tinggi untuk pengeluar minyak syal disebabkan harga minyak rendah di samping pulangan industri terburuk selama sedekad walaupun masih ada penjual berpotensi untuk dipilih.

Bulan lalu, Campbell dan rakan sejawatnya, John Sellers menerima kunjungan Presiden AS, Donald Trump di sebuah pelantar minyak di West Texas. Campbell dan John, kedua-duanya berusia 38 tahun menjadi terkenal di Permian selepas menawarkan sewaan pengerudian dan menjualnya kepada operator lebih besar.

Operasi penjualan itu turut melibatkan jualan AS$2.8 bilion (RM11.7 bilion) kepada Parsley Energy Inc. pada tahun 2017.

DoublePoint menghasilkan 55,000 tong minyak sehari tetapi aset utamanya merangkumi hak penggerudian seluas 40,468.6 hektar yang berada di tengah-tengah Permian.

April lalu, Campbell berkata, syarikat itu dilindung nilai sehingga penghujung 2021 sekali gus mengurangkan pendedahan terhadap turun naik harga minyak di samping meningkatkan pengeluaran hasil.

Syarikat penerokaan itu mempunyai komitmen ekuiti yang belum diambil alih daripada syarikat ekuiti swasta me­rangkumi Apollo Global Ma­nagement Inc., Quantum Energy Partners, Magnetar Capital dan Blackstone Group Inc’s GSO Capital Partners.

Jurucakap Apollo enggan mengulas perkara berkenaan manakala Blackstone, Magnetar dan Quantum tidak memberi maklum balas segera me­ngenai pertanyaan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya