Perlu pembaharuan ekonomi - Utusan Malaysia

Perlu pembaharuan ekonomi

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
KEHADIRAN Covid-19 bukan sahaja mengubah kehidupan manusia tetapi keseluruhan landskap ekonomi. Apa yang lebih membimbangkan kini adalah kadar pengangguran dijangka terus meningkat walaupun sektor ekonomi sudah dibuka secara berperingkat mulai 4 Mei lalu. Menurut agensi penarafan antarabangsa, S&P Global Ratings, prestasi ekonomi suku ketiga ini juga akan menjadi penentu bagi mengukur sejauh mana pencapaian ekonomi negara keseluruhan tahun ini berikutan peningkatan kadar pengangguran. Wartawan Utusan Malaysia, ZUNAIDAH ZAINON menemubual Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED baru-baru ini untuk mendapatkan gambaran pertumbuhan ekonomi dalam mengharungi separuh kedua 2020 yang terus mencabar.

UTUSAN: Selepas kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi negara pada Mei lalu selepas ditutup kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19, apakah tanda-tanda
pemulihan ekonomi yang boleh kita lihat setakat ini?
MUSTAPA MOHAMED: Semua sektor telah kembali menjalankan aktiviti hampir sepenuhnya kecuali pelancongan dan berkaitan dengannya yang memerlukan masa untuk pulih. Salah satu tanda pemulihan ialah
permintaan untuk bekalan elektrik. Ia telah kembali kepada keadaan normal dengan 17,000 megawatt
berbanding penurunan permintaan yang tidak pernah berlaku iaitu 13,000 megawatt ketika PKP dilaksanakan.
Pada masa sama, pergerakan kenderaan di atas jalan raya juga semakin meningkat. Berdasarkan rekod terkini, kira-kira empat juta kenderaan bergerak di laluan bertol setiap hari sejak Jun lalu. Malah sejak pertengahan Jun, jualan
kereta kembali meningkat secara purata melebihi 3,000 buah sehari.
Sektor peruncitan juga menunjukkan peningkatan walaupun perlahan berbanding Mei lalu dengan purata jualan sekitar RM1.2 bilion sehari. Namun, pemulihan sektor pelancongan masih perlahan dengan kadar tempahan hotel sekitar 27 peratus. Kita menjangkakan kadar tempahan bertambah pada Ogos dan bulan-bulan seterusnya dengan promosi agresif dibuat oleh pelbagai pihak untuk menggalakkan pelancongan domestik.
Antara petanda utama ekonomi makin pulih ialah peningkatan eksport pada Jun yang mencatatkan kenaikan
8.8 peratus kepada RM82.9 bilion. Peningkatan ini memberikan lebih dagangan sebanyak RM20.9 bilion, rekod
paling tinggi dicatatkan. Kita menjangkakan trend petunjuk-petunjuk ekonomi ini akan bertambah baik pada
suku akhir tahun ini jika tidak ada gelombang kedua Covid-19.
Sebagai contoh seterusnya, untuk menggerakkan ekonomi, akar umbi kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM4 bilion untuk projek-projek kecil bagi kontraktor kelas G1 dan G2. Lebih 95 peratus daripada peruntukan tersebut telah diagihkan dan kita berharap projek-projek kecil ini akan dilaksanakan segera supaya dapat memberi kelegaan kepada kontraktor kecil yang sudah lama tidak mempunyai pekerjaan.

Kebimbangan rakyat ketika ini ialah sukar mendapat kerja dengan kadar pengangguran pada Mei lalu mencecah 5.3 peratus iaitu paras tertinggi sejak 1990 dan dijangka terus meningkat pada bulan seterusnya. Apakah langkah proaktif yang diambil kerajaan bagi menangani situasi ini?
Kita akui pandemik Covid-19 menyebabkan pengangguran meningkat. Pada Mei lalu, bilangan yang menganggur ialah 5.3 peratus atau 826,100 orang. Mengikut Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sebanyak 60,400 orang
yang kebanyakannya berpendapatan rendah telah dibuang kerja sehingga pertengahan Julai.
Masalah pengangguran ini mungkin semakin mencabar apabila 307,000 graduan yang bakal menamatkan pengajian
memasuki pasaran hujung tahun ini. Usaha kerajaan melalui pelbagai insentif contohnya, Program Subsidi Upah berjaya mengurangkan jumlah pengangguran. Sehingga 20 Julai lalu, sebanyak RM7.82 bilion subsidi upah diluluskan yang memanfaatkan lebih 2.55 juta pekerja. Setakat ini, kita yakin tindakan beberapa pihak yang menjangkakan lebih dua juta orang akan menganggur akibat krisis kesihatan dan krisis ekonomi tidak akan
menjadi realiti.
Mengikut angka yang dicatatkan dalam portal MYFutureJobs, pada masa ini terdapat sebanyak 206,014 pencari kerja di seluruh negara. Pada masa sama, ada 166,047 peluang pekerjaan belum diisi. Kita juga mendapati sehingga 28 Julai lalu, sebanyak 13,849 orang telah ditempatkan kembali untuk bekerja melalui portal ini. Usaha lebih gigih perlu dilakukan untuk mengisi kerja kosong dan menggantikan buruh asing dengan pekerja tempatan.

Pemberian moratorium secara automatik diakui banyak membantu rakyat ketika menghadapi krisis yang berpunca daripada Covid-19. Tetapi di sebalik pengumuman terbaharu kerajaan minggu lalu, masih ramai yang mengharap ia diteruskan secara automatik juga. Apa pandangan Datuk Seri?
Kerajaan peka dengan keluhan dan masalah dihadapi rakyat. Begitu juga dengan pihak bank yang reponsif
kepada masalah dihadapi oleh individu dan peniaga khususnya peniaga kecil. Namun, kita harus faham kenapa bank tidak boleh terus memberikan moratorium secara automatik kerana ini akan memberi kesan kepada sektor perbankan dan ekonomi negara. Lagipun ada individu dan syarikat yang mungkin tidak memerlukan moratorium
selepas September ini. Oleh itu, tindakan melanjutkan moratorium secara bersasar adalah tepat. Cuma kita berharap bank akan memberikan perhatian serius kepada usahawan dan individu yang terkesan akibat Covid-19 dan
mempermudahkan urusan mereka seperti jaminan diberikan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut laporan Bank Dunia, bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat dan Pelan Jana Semula Ekonomi perlu ditingkatkan dengan mengambil kira keadaan ekonomi memerlukan hingga dua tahun untuk kembali kepada situasi pra Covid-19. Jadi, adakah kerajaan mempunyai perancangan ke arah ini?
Kerajaan tidak berhenti di situ. Kita sedang merangka pelan jangka sederhana dan jangka panjang untuk memulihkan dan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Tiga dokumen penting akan dibentangkan dalam
tempoh enam bulan ini iaitu Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional, Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12.
Ketiga-tiga dokumen ini akan menggariskan hala tuju ekonomi negara berlandaskan kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).
Tanpa kita sedar, sebenarnya Covid-19 memberi peluang kepada kerajaan menilai semula struktur ekonomi bagi membina daya tahan yang lebih kuat pada masa hadapan. Sudah pasti, aspek digital akan diberi penekanan yang tinggi.

Mampukah Malaysia membentuk ekonomi kalis krisis, memandangkan pandemik Covid-19 lebih buruk berbanding krisis ekonomi yang berlaku sebelum ini?
Malaysia sudah beberapa kali berhadapan dengan kemelesetan ekonomi akibat pelbagai faktor termasuk kelembapan global. Penularan Covid-19 telah menjejaskan ekonomi di seluruh dunia dan bukan hanya Malaysia.
Namun, agensi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yakin Malaysia mampu bangkit kembali dengan penuh keyakinan disebabkan asas ekonomi kita yang kukuh serta pelbagai.
Kini adalah masa untuk membina kembali ekonomi negara. Perancangan jangka sederhana dan jangka panjang
akan menjadi penentu kepada kemapanan negara. Pihak swasta, kerajaan dan badanbadan bukan kerajaan perlu
bekerjasama erat untuk membina kekuatan dan ketahanan ekonomi negara,

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya