KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia merekodkan aliran dana keluar bersih asing sebanyak RM19 bilion setakat Julai tahun ini.
Namun begitu, menurut MIDF Research, Malaysia masih merupakan negara keempat terkecil dari segi jualan aliran dana keluar bersih asing berbanding enam pasaran Asia lain.
Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, aliran dana keluar bersih asing bagi ekuiti tempatan mencatatkan penurunan kepada RM226.1 juta minggu lalu berbanding RM910.2 juta minggu sebelumnya.
“Jumlah yang dikumpul itu menjadikan minggu ke-24 berturut-turut penjualan bersih dana asing.
“Apabila pasaran dibuka semula Isnin lalu, pelabur asing telah membeli RM63.5 juta ekuiti tempatan yang juga merupakan satu-satunya hari Bursa Malaysia mengalami kemasukan aliran dana asing,” katanya dalam nota kajian hari ini.
Walau bagaimanapun, MIDF Research berkata, pelabur asing mula menjual saham pada hari berikutnya pada kadar RM49.3 juta walaupun Malaysia mencatatkan lebihan dagangan tertinggi berjumlah RM20.9 bilion pada Jun tahun ini.
“Sentimen positif itu dilihat tidak kekal lama disebabkan kebimbangan gelombang baharu Covid-19 dan peningkatan perlindungan yang menghalang usaha setiap negara memulakan semula ekonomi masing-masing,” katanya.