Pasfa teroka sumber kekayaan baharu - Utusan Malaysia

Pasfa teroka sumber kekayaan baharu

Zamri Yaakob
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Menyedari hakikat tidak boleh bergantung sepenuhnya pendapatan kepada industri kelapa sawit, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) akan meneroka sumber kekayaan baharu seperti penanaman durian Musang King, nanas MD2 dan kelapa dalam pelan jangka masa lima tahunnya bermula dari tahun ini.

Pengerusi Pasfa, Datuk Zamri Yaakob berkata, pertubuhan itu bersama anak syarikatnya mempunyai kira-kira 4,000 hektar ladang kelapa sawit.

Beliau berkata, ekoran terlalu bergantung kepada sektor itu, kewangan Pasfa bermula 2017 begitu teruk disebabkan ketidaktentuan harga komoditi berkenaan.

Kesannya kata beliau, kewangan Pasfa ketika itu hanya cukup untuk membayar gaji pekerja dan pertubuhan terpaksa menangguhkan bayaran dividen kepada kira-kira 70,000 ahlinya pada 2018 dan 2019.

“Sebab itu, sejak saya mengambil alih Pasfa sudah masuk tiga bulan, saya maklumkan kita (Pasfa) kena berubah. Kita perlu ubah sasaran, perlu meneroka sumber kekayaan baharu untuk meningkatkan pendapatan.

“Jadi, Pasfa akan mengurangkan ladang kelapa sawit kita daripada 4,000 hektar kepada 3,000 hektar. Lagi 1,000 hektar kita akan teroka dengan sumber kekayaan baharu dengan menanam durian Musang King, nanas MD2 dan kelapa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Zamri berkata, sebuah syarikat dari China berminat untuk bekerjasama dengan Pasfa bagi menanam Musang King di kawasan seluas kira-kira 200 hektar.

“Jika ini dapat direalisasikan, hasilnya lumayan. Musang King untuk satu hektar dianggarkan pendapatannya kira-kira RM150,000 setahun, nanas MD2 sebanyak RM120,000 satu hektar (setahun).

“Kelapa sawit, satu hektar paling tinggi pun boleh dapat RM15,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata, untuk jangka masa lima tahun itu, Pasfa menyasarkan pendapatan bersih mencecah RM20 juta ke RM30 juta setahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain meneroka sumber kekayaan baharu, Pasfa akan memulih dan membesarkan Agro Bazaar Rakyat 1Malaysia miliknya.

“Agro Bazaar seperti hidup segan mati tak mahu, dulu sewaktu dilancarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ia hebat tetapi kini kurang tumpuan dan layu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya