KUALA LUMPUR: Pengeluar kenderaan tempatan terus menerima tempias positif pada bulan Julai hasil inisiatif kerajaan terhadap sektor automotif yang diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Insentif pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi semua kenderaan pemasangan tempatan (CKD) mulai 5 Jun sehingga 31 Disember depan secara langsung telah berjaya meningkatkan jualan kenderaan Proton Holdings Bhd. dan Perodua.
Hal tersebut terbukti apabila model kenderaan paling laris di Malaysia iaitu Myvi terus menguasai pasaran kereta nasional dengan jualan sebanyak 29,313 unit setakat tahun ini.
Proton yang tampil dengan jualan sebanyak 13,216 unit pada bulan Julai iaitu jualan bulanan terbaik dalam tempoh lapan tahun sejak Jun 2012 turut menerima impak yang sama.
Proton Saga sekali lagi mencatat jualan tertinggi dan menjadi pilihan utama dalam pasaran sedan segmen A dengan sebanyak 5,421 unit berjaya dijual bulan lalu termasuk 1,100 unit Edisi Ulang Tahun Saga yang habis ditempah dalam tempoh hanya lima hari selepas dilancarkan 9 Julai lalu.
Dari segi pegangan pasaran sejak awal tahun sehingga Julai, Proton diramal menguasai 21.8 peratus iaitu pertumbuhan 6.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Roslan Abdullah dalam kenyataan baru-baru ini berkata, syarikat itu akan terus berusaha memberi tawaran menarik kepada pasaran dan merangsang jualan dalam bulan ini sebagai persiapan untuk memperkenalkan lebih banyak model menjelang akhir tahun.
Katanya, bahagian pengeluaran, kualiti, jualan dan selepas jualan Proton terus bekerja keras untuk memastikan syarikat itu dapat memenuhi permintaan pelanggan serta memberikan tahap perkhidmatan pelanggan yang bersesuaian seperti yang telah ditetapkan.
“Jualan pada bulan Julai menunjukkan prestasi terbaik kami dalam tempoh lebih lapan tahun dan kami berbangga dengan pencapaian model-model syarikat dalam setiap segmen.
“Oleh itu, kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan rakyat Malaysia dan tetap optimis pada 2020 ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad turut yakin dengan prestasi baik yang ditonjolkan syarikat itu bulan lalu.
“Sebagai peneraju pasaran, keutamaan Perodua adalah untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik dalam memaksimumkan kepuasan pelanggan. Kami komited untuk terus menawarkan nilai lebih baik kepada semua rakyat Malaysia dari segi harga berpatutan, kualiti, teknologi dan ciri-ciri canggih terbaharu.
“Sejak kembali beroperasi selepas penutupan selama dua bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jualan kami telah bangkit semula dengan cepat didorong oleh pengecualian cukai jualan sehingga akhir tahun ini.
“Sekiranya perkembangan ini berterusan, jumlah jualan yang menggalakkan ini akan membolehkan kami membantu ekosistem pembekal dan pengedar automotif pada masa sukar ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE