MRM iktiraf industri reka bentuk tempatan - Utusan Malaysia

MRM iktiraf industri reka bentuk tempatan

TIMBALAN Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong melihat produk yang dipamerkan selepas melancarkan Certified Industrial Designer hasil kerjasama MRM dan SIRIM di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) melancarkan Certified Industrial Designer (CID) sebagai inisiatif memberi pengiktirafan tertinggi kepada pereka tempatan dalam pembangunan industri reka bentuk.

CID yang diperkenalkan itu merupakan usahasama antara MRM dan SIRIM Berhad.

Pensijilan kepada pereka bentuk perindustrian itu juga dibangunkan oleh Jawatankuasa Projek Reka Bentuk Perindustrian yang dikawal selia oleh SIRIM.

Pengurus Besar MRM, Prof. Madya Dr. Mohamad Hariri Abdullah berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungan pereka dan rekaan mereka terus relevan kepada industri tempatan dan global.

“Ledakan teknologi Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan re­volusi digital menyaksikan perubahan drastik ke atas persekitaran global.

“Ia memerlukan usaha kola­borasi semua pihak khususnya pengeluar demi memastikan kepentingan pereka dan proses rekaan seiring dengan perkembangan teknologi dan permintaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Mohamad Hariri, pengiktirafan yang akan diterima oleh pereka tempatan itu adalah sama seperti gelaran Ir. yang diberikan oleh Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) kepada jurutera-jurutera, Ar. untuk arkitek, Sr. (surveyor atau juruukur) dan Ts. (teknologis).

“Pensijilan itu bertujuan me­netapkan kerangka kerja bagi menilai tahap kompetensi dan komitmen pereka industri profesional, membangunkan dokumen rasmi dan panduan yang komprehensif bagi mana-mana pihak yang terlibat dalam pembelajaran dan latihan dalam industri reka bentuk serta menjadi asas pembentukan program latihan berterusan dan peluang pembelajaran.

“CID juga akan menjadi penanda aras tahap kompetensi pereka bentuk industri profesional berbanding pensijilan yang diperakui badan profesional lain serta menjadi asas rujukan bagi semua organisasi yang ingin mendapatkan pensijilan untuk pereka bentuk industri,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya