Melonjak tiga kali ganda – MAHB - Utusan Malaysia

Melonjak tiga kali ganda – MAHB

Khazanah sebagai pemilik tunggal perlu menyusun strategi untuk memastikan kelangsungan MAS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan peningkatan aliran penumpang penerbangan hingga tiga kali ganda kepada 1.3 juta orang dengan pergerakan kapal terbang turut melonjak kepada 22,600 pada Julai.

Malaysia Airports Holding Bhd. (MAHB) dalam kenyataan memberitahu, pertambahan jumlah penumpang itu melibatkan perjalanan domestik sejak kerajaan mula membuka pelancongan tempatan dan dalam masa sama mencerminkan sentimen serta keyakinan positif masyarakat untuk kembali menggunakan perjalanan udara secara domestik.

Peningkatan aliran penum­pang itu juga menjadi petunjuk kepada keyakinan syarikat penerbangan antarabangsa atau tempatan untuk meningkatkan perkhidmatan penerbangan terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh, 27 syarikat penerbangan yang ber­o­pe­rasi secara global ke 30 bandar raya di 20 negara ketika ini de­ngan 14 daripada syarikat penerbangan itu membuat sekurang-kurangnya satu pe­nerbangan mingguan termasuk penerbangan menghubungkan Kuala Lumpur untuk memenuhi permintaan.

Katanya, pada masa ini, laluan dan operasi aktif itu te­lah menyaksikan kira-kira 149 kekerapan mingguan di Kuala Lumpur di samping peningkatan kapasiti kargo.

“Kadar pemulihan positif telah memperkukuh keyakinan kami bahawa industri perjalanan udara akan kembali normal secara beransur-ansur.

“Di samping syarikat pe­nerbangan yang beroperasi dari Kuala Lumpur sekarang, lebih dari 30 syarikat penerbangan a­sing lain telah menyatakan bahawa mereka akan beroperasi semula setelah sempadan dibuka sepenuhnya.

“Malah, Turkish Airlines baru-baru ini kembali berope­rasi di Kuala Lumpur pada 18 Julai lalu dengan kapal terbang Dreamliner B787-9 baharu mereka,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Shukrie menegaskan pengendali lapangan terbang itu kekal komited untuk memastikan pengalaman lapangan terbang yang sentiasa selamat.

Beliau berkata, kerja pemulihan sepenuhnya landasan ketiga KLIA adalah bukti komitmen berterusan MAHB yang tidak mengabaikan soal keselamatan.

“Walaupun terdapat tindakan pencegahan kos yang agresif, namun kami akan terus melabur supaya dapat meningkatkan ke­selamatan penumpang.

“Langkah keselamatan ter­ba­ha­ru di lapangan terbang adalah pemasangan sterilisasi pega­ngan sinaran ultra (UV) di eskalator dan alat pejalan kaki yang diharapkan dapat menghapuskan 99.9 peratus mikro-organisma yang tidak diingini,” katanya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya