KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengumumkan penurunan keuntungan bersih berjumlah RM462.9 juta atau 41.47 peratus kepada RM653.3 juta dicatatkan dalam tempoh tiga bulan kedua tahun kewangan 2020 berbanding RM1.12 bilion untuk tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, prestasi pendapatan TNB turut menyaksikan kemerosotan RM1.99 bilion kepada RM10.89 bilion untuk tempoh April hingga Jun 2020 berbanding RM12.88 bilion tahun lalu didorong oleh kejatuhan jualan elektrik.
Menurut TNB, keuntungan operasi syarikat turut menurun sebanyak RM250.3 juta atau 12.1 peratus kepada RM1.82 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu iaitu RM2.07 bilion.
Keuntungan selepas cukai (PAT) syarikat utiliti negara itu juga merekodkan penyusutan tinggi sebanyak RM454.1 juta atau 40.2 peratus kepada hanya RM676.0 juta berbanding RM1.13 bilion dalam tempoh tiga bulan kedua 2019.
“Pendapatan TNB bagi tempoh separuh pertama 2020 berkurangan 13.7 peratus atau RM3.58 bilion didorong oleh penurunan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) berjumlah RM2.32 bilion dan penguncupan jualan elektrik sebanyak 8.1 peratus bernilai RM1.2 bilion.
“Keuntungan operasi jatuh 11.6 peratus kepada RM4.05 bilion berbanding RM4.58 bilion tahun lalu manakala keuntungan selepas cukai bagi tempoh enam bulan berkurang sebanyak RM1.23 bilion daripada RM2.65 bilion kepada RM1.4 bilion didorong oleh nilai ringgit yang lemah dan kos kewangan tinggi bagi stesen janakuasa Jimah East Power,” katanya dalam makluman itu semalam. – UTUSAN ONLINE