NEW YORK: Jualan iPhone Apple kekal stabil manakala pengeluar lain seperti Samsung mengalami penurunan dua digit dari tahun ke tahun dalam pasaran global yang tidak menentuk disebabkan Covid-19.
Menurut Pengarah Penyelidikan Kanan Gartner, Anshul Gupta, jualan Apple turun hanya 0.4 peratus dari tahun ke tahun pada suku kedua 2020.
“Persekitaran perniagaan yang lebih baik di China membantu Apple mencapai pertumbuhan di negara itu,” katanya.
Berdasarkan laporan Gartner yang dikeluarkan pada Selasa, jualan telefon pintar global menunjukkan penurunan 20.4 peratus kepada 295 juta unit pada suku kedua 2020.
Jualan Samsung turun 27.1 peratus dari tahun ke tahun manakala penjualan telefon pintar Huawei turun 6.8 peratus.
Dua jenama China yang lain, Xiaomi dan Oppo, masing-masing mengalami penurunan sebanyak 21.5 peratus dan 15.9 peratus.
Anshul berkata, sekatan perjalanan, penutupan perniagaan dan perbelanjaan yang lebih berhemat untuk produk tidak penting ketika wabak Covid-19 menyebabkan penurunan penjualan telefon pintar bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Naib Presiden Penyelidikan Gartner, Annette Zimmermann memberitahu, pengenalan iPhone SE baharu turut mendorong pengguna telefon pintar yang lebih berusia menaik taraf telefon pintar mereka.
IPhone SE yang menawarkan high-end processor sama seperti iPhone 11, dijual pada harga bermula AS$399 (RM1,663.83). – AGENSI