KUALA LUMPUR: Prestasi jualan keseluruhan industri (TIV) sektor automotif negara diunjur mencecah 554,000 unit tahun ini, pengurangan 8.3 peratus berbanding 604,287 unit yang diraih industri automotif pada 2019.
Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, pengumuman insentif dalam Pelan Jana Semula Negara (Penjana) termasuk pengecualian cukai kepada sektor automotif telah menyaksikan pemulihan jualan pada Jun dengan harga kenderaan secara umumnya menurun antara dua hingga tujuh peratus.
Katanya, trend pemulihan industri itu dilihat sangat menggalakkan disebabkan beberapa faktor utama termasuk permintaan tinggi menerusi pengecualian cukai.
“Selain itu, pelbagai kaedah rangsangan yang menyuntik aliran tunai kepada rakyat termasuk moratorium pembayaran pembiayaan selama enam bulan dan program i-Lestari oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendorong kepada permintaan tinggi sektor ini.
“Suasana kadar faedah yang rendah turut menjadi pemangkin kukuh yang mendorong sentimen pembelian kenderaan,” katanya dalam nota kajian baru-baru ini.
Data Bank Negara Malaysia (BNM) juga menunjukkan permohonan pembiayaan pembelian kenderaan penumpang meningkat 66.08 peratus kepada RM7.63 bilion pada Jun berbanding RM4.6 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya. Kelulusan pembelian turut meningkat 29.46 peratus kepada RM3.83 bilion berbanding RM2.96 bilion untuk tempoh berkenaan.
Awal minggu ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan jualan keseluruhan industri (TIV) bagi sektor automotif Malaysia akan meningkat kepada 470,000 unit berikutan langkah-langkah rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna.
Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, pada mulanya MAA menjangkakan 607,000 unit pada Januari lalu namun selepas menyemak semula, ramalan TIV kepada 470,000 berbanding semakan awal pada 29 April lalu berjumlah 400,000 unit.
“Pengecualian cukai jualan 100 peratus bagi harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50 peratus untuk CBU (sudah siap sepenuhnya),” katanya.
Tambah Aishah, jangkaan TIV tahun ini masih pada kadar 22.2 peratus atau 134,287 unit lebih rendah berbanding TIV 2019 sebanyak 604,287 unit.
Pengecualian cukai penjualan di bawah pakej rangsangan ekonomi akan meningkatkan penjualan kenderaan kerana ramai mengambil peluang membeli kereta sebelum pengecualian cukai penjualan berakhir 31 Disember nanti.
Walaupun ada permintaan untuk kenderaan mewah namun ramai yang telah menukar kenderaan kepada yang lebih sederhana dan kecil.
Beliau berkata, penjualan kereta terpakai telah meningkat lebih 100 peratus terutama bagi model berharga bawah RM30,000 sekitar Kuala Lumpur.