Hampir 86 peratus tanaman sawit peroleh MSPO pada Julai - Utusan Malaysia

Hampir 86 peratus tanaman sawit peroleh MSPO pada Julai

Malaysia akan meneliti semula keseluruhan maklum balas EU dalam konsultasi dengan kesatuan itu GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 85.22 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di Malaysia dan 89.6 peratus daripada keseluruhan 452 kilang buah sawit telah mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mapan Malaysia (MSPO) sehingga 30 Julai tahun ini.  

MSPO dibangunkan hasil penglibatan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan pakar kelestarian, SIRIM Berhad dan komuniti sawit negara yang dilaksanakan secara sukarela pada 1 Januari 2015 dan dimandatorikan kepada seluruh rantaian industri sawit bermula 1 Januari lalu. 

Pensijilan ini mengandungi tujuh prinsip yang mencerminkan keperluan kemapanan untuk pekebun kecil, ladang dan kilang sawit antaranya, komitmen dan tanggungjawab pihak pengurusan, ketelusan, pematuhan terhadap keperluan perundangan dan tanggungjawab sosial.

Menurut MPOB, MSPO perlu dilaksanakan seluruh penggiat industri sawit Malaysia bagi meningkatkan kredibiliti produk sawit keluaran negara yang berorentasikan kepada pasaran antarabangsa.

“Bagi pekebun kecil tersusun, seramai 231,576 pekebun dengan keluasan 679,075 hektar iaitu 99.64 peratus telah memperoleh sijil MSPO.

“Kementerian dan MPOB bergerak aktif untuk memastikan kesemua pekebun kecil persendirian mendapat persijilan MSPO. Pekebun kecil persendirian di bawah Kelompok Minyak Sawit Mapan (SPOC) akan dibantu oleh pegawai Tunjuk Ajar Nasihat Sawit (TUNAS) untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi persediaan pensijilan MSPO kebun sawit secara berkelompok,” katanya dalam kenyataan. 

Jelas MPOB, semua 162 kumpulan SPOC di seluruh negara telah diberi pensijilan melibatkan 62,009 pekebun kecil dengan keluasan tanaman sebanyak 237,876 hektar (24.12 peratus) pada Julai tahun ini.

Antara cabaran yang dihadapi untuk mempersijilkan pekebun kecil persendirian adalah status pemilikan kebun yang tiada geran tanah sah yang berkaitan dengan status tanah atau memiliki geran tanah sementara, tanah ceroboh dan penukaran syarat nyata tanah kepada tanaman sawit.

“Ia termasuk kesukaran untuk menghubungi pekebun kecil kerana tidak mengusahakan kebun secara sepenuh masa atau mengupah kontraktor untuk menguruskan kebun.

“Selain itu, terdapat tanaman sawit milik pekebun kecil yang ditanam tidak mengikut amalan pertanian baik dan kesediaan untuk melaksanakan pensijilan MSPO,” katanya. 

Katanya, kementerian juga menyediakan insentif untuk membantu pekebun kecil persendirian membiayai kos yuran pensijilan, latihan berkaitan MSPO, penyediaan stor penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).

Kemapanan kini adalah isu sejagat terutama dalam melayari usia lebih 100 tahun industri sawit di Malaysia dan mengharungi pelbagai cabaran.

“Namun, cabaran kali ini adalah meningkatkan reputasi industri sawit untuk mencapai tahap kemapanan yang diiktiraf dunia. Dengan kerjasama semua pihak, sasaran pencapaian 100 peratus penanaman sawit dipersijilkan dengan MSPO pasti dapat direalisasikan,” katanya. 

Laporan Brundtland yang diterbitkan World Commission on Environment and Development (WCED) pada 1987 memperkenalkan konsep kemapanan dengan definisi kemapanan sebagai pembangunan untuk memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan kebolehan memenuhi keperluan generasi masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya