KUALA LUMPUR: Satu daripada jenama susu kegemaran ramai, Goodday Milk sekali lagi memanfaatkan kepentingan teknologi dan inisiatif digital apabila bekerjasama dengan aplikasi navigasi popular, Waze dalam usaha membantu pengguna menyesuaikan diri dalam norma baharu.
Dalam masa yang sama, kerjasama Goodday Milk dengan Waze mampu mewujudkan pengalaman membeli-belah yang lebih selamat bagi rakyat mengenal pasti pasar raya yang kurang sesak dengan menggunakan data arkib Waze.
Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Alternatif Etika, T. S. Santharuban berkata, inisiatif tersebut menjadikan rakyat dapat menyesuaikan diri dengan penjarakan fizikal menerusi cadangan kepada pasar raya yang mempunyai kadar lalu lintas lebih rendah.
Santharuban berkata, ia sekali gus dapat memberi ketenangan kepada pengguna untuk membeli-belah dalam persekitaran yang lebih menyenangkan.
Santharuban berkata, kerjasama itu juga dapat membantu pengguna dan masyarakat untuk memastikan keselamatan diri semasa membeli produk penting seperti susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan lain-lain.
“Kita semua sedang belajar untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu yang tentunya berhadapan pelbagai cabaran terutama melibatkan peraturan penjarakan fizikal.
“Namun begitu, ini adalah kaedah terbaik untuk meminimumkan risiko kepada penularan pandemik Covid-19 dengan kebiasaan kami di Goodday Milk sentiasa mahu memudahkan pengguna melakukan aktiviti harian dengan lebih tenang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kerjasama dengan Waze itu akan membolehkan pengguna memilih pasar raya yang kurang sesak menerusi paparan logo pin Goodday Milk dalam aplikasi tersebut.
Apabila pemandu mencari destinasi spesifik menggunakan kata kunci seperti kedai runcit, pasar raya atau pasar raya besar, Waze akan menyediakan cadangan untuk cawangan yang mempunyai aliran lalu lintas yang rendah.
Menurut Ketua Negara Waze Malaysia, Kelvin Sim, keupayaan besar melibatkan navigasi dan trend lalu lintas yang dimiliki Waze membolehkan pengguna memilih pasar raya yang selamat dalam radius lokasi semasa pengguna.
“Sebagai pusat kepada komuniti pemandu terbesar dunia, Waze berkebolehan menampilkan pandangan unik dan berharga kepada pengguna serta jenama.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Goodday Milk untuk membantu memberi pengalaman membeli-belah yang lebih menyenangkan kepada pemandu dan memudahkan sepanjang perjalanan harian mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE