Ekonomi berkembang 5.5-8 peratus 2021 - Utusan Malaysia

Ekonomi berkembang 5.5-8 peratus 2021

Nor Shamsiah Mohd. Yunus
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kedudukan ekonomi negara dijangka bakal kembali berkembang positif sekali gus mampu pulih daripada krisis berikutan penularan pandemik Covid-19 pada tahun hadapan.

Walaupun mencatatkan pres­tasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terburuk sejak krisis ekonomi 1998 dalam tiga bulan kedua tahun ini iaitu pada kadar 17.1 peratus, namun Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berpandangan, senario buruk itu telah berlalu dan masa hadapan ekonomi negara dijangka lebih cerah.

Untuk itu, menurut Nor Shamsiah, BNM telah menyemak semula unjuran KDNK kese­luruhan 2020 negara kepada -3.5 hingga -5.5 peratus daripada -2.0 hingga 0.5 peratus sebelum ini disebabkan anggaran awal tersebut ditetapkan berdasarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) empat minggu, namun ia telah dilaksanakan selama tujuh minggu.

Dalam masa yang sama, ekonomi negara dilihat akan kembali pulih pada tahun 2021 dengan pertumbuhan dalam julat di antara 5.5 hingga 8.0 peratus.

Beliau berkata, kedudukan ekonomi negara dilihat mula pulih secara beransur-ansur dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini disokong oleh peningkatan semula petunjuk ekonomi utama seperti perdagangan borong dan runcit; pengeluaran perindustrian dan perbelanjaan kad kredit di samping pertumbuhan semula eksport kasar sejak ekonomi dibuka semula Mei lalu.

“Momentum ini dijangka berterusan dalam separuh ke­dua tahun ini dengan pertumbuhan beransur-ansur akan mula kelihatan antara Julai hingga September 2020.

“Pertumbuhan ekonomi secara berperingkat pada separuh kedua tahun ini akan dipacu oleh peningkatan perkemba­ngan global, perdagangan dan kitaran teknologi di samping pembukaan semula ekonomi domestik.

“Langkah kerajaan memperkenalkan pakej rangsangan fiskal, monetari dan kewangan turut membantu memulihkan kedudukan ekonomi selain pe­ningkatan prospek pendapatan dan sentimen yang mendorong kepada perbelanjaan pengguna.

“Dalam masa yang sama, kewujudan projek berskala besar seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan beberapa projek lain yang memberi kesan pengganda tinggi serta pemulihan dalam pengeluaran komoditi juga menyokong pemulihan beransur-ansur dalam separuh kedua 2020,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman prestasi ekonomi dan kewangan Malaysia suku kedua secara maya, semalam.

Dalam pada itu, purata inflasi keseluruhan tahun ini dijangka kekal negatif sejajar dengan unjuran sebelum ini iaitu antara -1.5 hingga 0.5 peratus dicerminkan oleh harga minyak dunia yang ketara lebih rendah.

Bagi tahun 2021 pula, kadar purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi iaitu antara 1.0 hingga 3.0 peratus sejajar dengan purata jangka lebih panjang yang pernah dicatatkan didorong oleh pemulihan harga minyak dunia dan permintaan domestik yang lebih baik.

Nor Shamsiah memberitahu, pasaran buruh diunjur turut pulih dalam separuh kedua tahun ini sejajar dengan pemulihan dalam aktiviti ekonomi selepas dibuka semula pada penghujung suku kedua.

Katanya, unjuran itu berdasarkan kepada dorongan pengambilan semula pekerja dan pemulihan permintaan luaran dalam separuh kedua sekali gus membawa kepada penurunan berperingkat kadar pengangguran di samping pe­ningkatan kedudukan pendapatan.

“Petunjuk terkini telah merekodkan penyusutan kadar pengangguran kepada 4.9 peratus pada Jun berbanding 5.3 peratus dalam Mei lalu.

“Kadar penempatan pekerjaan daripada Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) juga telah mula meningkat pada Julai sekali gus menyebabkan tuntutan penganggur menunjukkan trend penurunan.

“Penempatan pekerjaan daripada SIP telah mencatatkan kenaikan 11 peratus pada Julai berbanding enam peratus pada bulan Jun dengan nisbah setiap 100 orang hilang pekerjaan, 11 akan mula mendapat pekerjaan baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya