KUALA LUMPUR: Bumiputera makin ketinggalan dalam ekonomi negara dengan pemilikan ekuiti merosot dan insiden kemiskinan serta pengangguran pula lebih tinggi berbanding kaum lain.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan dan peningkatan usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan jumlah pemilikan tersebut.
Peratusan terkini pemilikan ekuiti yang dicatatkan adalah hanya 16 peratus berbanding pencapaian yang lebih baik pada masa lepas.
Secara perbandingan, insiden kemiskinan bumiputera pula adalah 7.2 peratus pada tahun lepas berbanding kaum Cina (1.4 peratus) dan India (4.8 peratus).
Kadar pengangguran bumiputera adalah 3.7 peratus pada tahun 2019 berbanding purata nasional iaitu 3.3 peratus.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan kebimbangan itu di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap perkara itu dan satu inisiatif baharu iaitu Majlis Kemakmuran Bumiputera ditubuhkan.
“Komitmen kita ialah untuk berusaha lebih daripada dahulu. Sebab itu, dalam ucapan yang saya jelaskan tadi ada suatu inisiatif baharu umpama Majlis Kemakmuran Bumiputera yang mana dalam majlis ini saya pengerusikan sendiri.“Kita akan teliti dan halusi sektor-sektor mana yang bumiputera jauh di belakang. Jadi, bila ada data-data lengkap yang dapat kita kumpul menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), maka tindakan kita lebih berfokus,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berhubung kedudukan pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat tersenarai, syarikat-syarikat tidak tersenarai dan kedudukan agensi-agensi amanah bumiputera.
Perdana Menteri memberitahu, secara perbandingan, insiden kemiskinan bumiputera lebih tinggi dari kaum lain dan begitu juga dengan peratusan dalam kadar pengangguran.
“Bagi suku kedua 2020, kadar pengangguran bumiputera adalah 5.2 peratus berbanding purata nasional 5.1 peratus.
“Majlis Kemakmuran Bumiputera sebagai platform tertinggi untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi bumiputera. Saya juga telah memutuskan bahawa Teraju menjadi agensi penyelaras utama untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh.
Penganalisis ekonomi berpendapat antara punca kemerosotan itu berpunca daripada kegagalan syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat awam berhad memainkan peranan membantu golongan bumiputera.
Penganalisis ekonomi, Datuk Dr. Hasan Mad berkata, kemerosotan peratusan ekuiti bumiputera berpunca daripada kegagalan GLC dan syarikat awam berhad dalam membantu golongan tersebut meningkatkan perniagaan.
“Di mana peranan mereka dalam membantu golongan bumiputera? Mereka tak mampu mengembangkan golongan bumiputera untuk memulakan perniagaan sedangkan itu tanggungjawab mereka.
“Apa yang mereka lakukan sekarang adalah untuk survival kehidupan masing-masing. Semua perancangan memang kosmetik, tetapi pelaksanaannya? Sebab itu daripada 1,300 senarai syarikat dalam Public Enterprise, hanya 10 peratus yang mewakili bumiputera,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, bagi membantu bumiputera, usaha membantu golongan itu tidak sukar dengan mengembalikan tiga teras Dasar Ekonomi Baru (DEB) iaitu pengwujudan bisnes, pekerjaan dan ekuiti.
Selain itu, katanya, peranan GLC dan syarikat awam berhad juga perlu dikembalikan.
Penganalisis Ekonomi Akademi Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Madeline Berma pula berkata, kerajaan perlu menilai semula dasar kerajaan yang meninggalkan kesan terhadap agenda 30 peratus pegangan ekuiti seperti dasar liberalisasi ekonomi.
“Salah satu agenda utama adalah supaya pegangan ekuiti bumiputera mencapai 30 peratus.
“Kerajaan tidak dapat mencapai sasaran 30 peratus disebabkan sumber terhad. Oleh itu kerajaan perlu memastikan syarikat pelaburan seperti Permodalan Nasional Bhd. dapat membantu syarikat bumiputera untuk mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti,” ujarnya.