Bagai telur di hujung tanduk - Utusan Malaysia

Bagai telur di hujung tanduk

Industri penerbangan negara dijangka mengalami kerugian RM13 bilion tahun ini. – UTUSAN/ASWAD YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Penularan pandemik Covid-19 memberi impak yang sangat teruk kepada sektor penerbangan di seluruh dunia. Ada yang sebelum ini terbang di awan biru terpaksa menukar kerjaya menjadi petani atau penghantar makanan demi meneruskan survival hidup apabila diberhentikan kerja oleh syarikat penerbangan. Ikuti laporan khas yang dikupas wartawan Utusan Malaysia, AFIQ MOHD.SHAH mengenai masa depan sektor penerbangan pasca Covid-19.

KUALA LUMPUR: Sektor penerbangan merupakan satu daripada industri yang menerima impak paling besar dek kerana penularan pandemik Covid-19 sejak Disember lalu.

Umum mengetahui pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan perjalanan antarabangsa yang dilakukan di seluruh dunia bukan sahaja telah meruntuhkan ekonomi global tetapi juga menekan sektor pe­nerbangan ke tahap paling bawah.

Jika dilihat kepada statistik, pres­tasi buruk industri pener­bangan berterusan sehingga separuh pertama tahun ini de­ngan data Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik (AAPA) me­nunjukkan kemerosotan ­se­hingga 98 peratus atau hanya 724,000 jumlah penumpang menggunakan per­khidmatan syarikat pe­nerbangan Asia pada Jun tahun ini berbanding 31.8 juta bulan sama tahun lalu.

Bagi jumlah keseluruhan separuh pertama tahun ini, syarikat penerbangan Asia Pasifik hanya membawa 61 juta penumpang antarabangsa, menjunam 68 ­peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut Ketua Pengarah AAPA, Subhas Menon, perjalanan antarabangsa menunjukkan pe­nurunan paling tinggi dalam suku kedua dengan kebanyakan penerbangan hanya untuk membawa pulang rakyat ke negara sendiri.

Pada masa sama, katanya, permintaan kargo udara juga menurun sebanyak 16 peratus dalam separuh pertama tahun ini sekali gus menunjukkan kemerosotan keyakinan pengguna dan perniagaan.

April lalu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memberi amaran impak Covid-19 semakin meruncing apabila kira-kira 25 juta akan hilang pekerjaan di peringkat global melibatkan 11.2 juta di rantau Asia Pasifik.

Hakikatnya, tiada mana-mana syarikat penerbangan yang terlepas daripada mengalami impak negatif sejak enam bulan pertama ini walaupun merupakan syarikat terbaik untuk tempoh yang lama.

Hal itu dirasai Singapore Airlines, pemenang empat kali Anugerah Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia oleh Skytrax dan kerap kali berada dalam senarai tiga terbaik sejak anugerah ber­kenaan diadakan yang telah mencatatkan kerugian bersih berjumlah S$732 juta (RM2.26 bilion) untuk tempoh tiga bulan sahaja sehingga Mac lalu.

Situasi itu dilihat akan bertambah buruk meman­dangkan ­Singapore Airlines bergantung sepenuhnya kepada pener­bangan antarabangsa dengan unjuran menunjukkan kerugian bersih mungkin bertambah ­sehingga S$1.2 bilion (RM3.70 ­bilion), pendapatan juga mungkin menjunam sehingga 87 peratus sekali gus menjadikan kerugian pertamanya dalam tempoh 48 tahun.

Di peringkat domestik, syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Airlines Bhd. dan ­AirAsia Group Bhd. juga berhadapan senario yang sama ­dengan AirAsia telah pun mendapat sokongan daripada institusi kewangan bagi pembiayaan operasi syarikat penerbangan tambang rendah terbesar Asia itu bernilai lebih RM1 bilion.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menganggarkan industri penerbangan negara dijangka mengalami kerugian RM13 bilion tahun ini termasuk RM10.9 bilion dari tiga syarikat penerbangan utama negara, Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Airways Sdn. Bhd.

Keadaan Malaysia Airlines yang telah lama berdepan situasi kewangan pula bertambah buruk dengan pemegang saham terbesarnya, Khazanah Nasional Bhd. masih menunggu dan akan meneliti pelan pemulihan sebelum memutuskan bantuan yang dapat diberikan kepada Malaysia Airlines.

Malah, syarikat penerbangan nasional ini juga minggu lalu menafikan menerima bantuan sebanyak AS$300 juta (RM1.28 bi­lion) dari kerajaan bagi membantu menangani impak Covid-19.

Melihat kepada situasi sukar yang sedang dihadapi syarikat penerbangan ketika ini, sejauh mana sebenarnya industri ini mampu berdaya tahan dan pulih sepenuhnya?

Penganalisis industri penerbangan dari Endau Analytics, Shukor Yusof berpandangan, sektor penerbangan negara dilihat malap disebabkan kurangnya bantuan kerajaan dan hala tuju jelas terhadap industri itu susulan penularan Covid-19 di samping kelemahan prestasi kewangan syarikat penerbangan tempatan.

Dalam pada itu, Shukor melihat tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang merupakan tempoh paling mencabar dialami syarikat penerbangan tempatan memandangkan ekonomi global masih dalam proses untuk pulih.

Menurut beliau, masalah yang dihadapi Malaysia Airlines tidak hanya melibatkan dana mencukupi tetapi kekura­ngan ­pemimpin yang cekap dan ­strategi yang baik.

“Tidak kira sama ada ­Malaysia Airlines mendapatkan dana atau tidak, syarikat penerbangan itu perlu melakukan tindakan drastik dengan menutup terus operasi dan membina semula perniagaan sebagai syarikat penerbangan yang lebih baik pada masa hadapan.

“AirAsia pula memerlukan sekurang-kurangnya RM3 bilion bagi menghadapi cabaran untuk tempoh akan datang untuk menyelesaikan hutang dan sewaan kapal terbang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Shukor berkata, syarikat penerbangan tempatan perlu mengecilkan operasi syarikat termasuk mengurangkan pekerja dan pemilikan kapal terbang sedia ada seterusnya memikirkan sama ada terus relevan pasca Covid-19 atau tidak.

“Laluan domestik adalah kunci utama kelangsungan operasi syarikat penerbangan. Tidak perlu lagi proses transformasi kerana ia hanya membuang masa dan memakan lebih banyak hasil wang rakyat.

“Penutupan operasi mungkin pilihan sesuai. Ketika ini kita ada tiga syarikat penerbangan utama di Malaysia iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Airways. Tidak terlalu banyak untuk negara yang mempunyai hanya 30 juta penduduk,” tegas Shukor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya