AS ketat sekatan atas akses Huawei - Utusan Malaysia

AS ketat sekatan atas akses Huawei

DUA lelaki melalui gerai pameran Huawei di China baru-baru ini. Huawei berdepan sekatan lebih ketat oleh Amerika Syarikat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Pre­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan untuk mengetatkan lagi sekatan ke atas Huawei Technologies Co. bertujuan menghentikan akses syarikat itu kepada cip yang tersedia secara komersial.

Reuters melaporkan tinda­kan Jabatan Perdagangan AS memperluas sekatan yang di­umumkan pada bulan Mei da­lam usaha menyekat gergasi telekomunikasi China itu mendapatkan semikonduktor tanpa lesen khas termasuk cip dibuat syarikat asing yang dibangunkan menggunakan perisian atau teknologi AS.

Menurut sumber, kerajaan AS turut menambah 38 lagi sekutu Huawei di 21 negara ke dalam senarai hitam ekonomi­nya meningkatkan kepada 152 sekutu sejak tindakan itu mula dilaksanakan pada Mei 2019.

Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross memberitahu Fox Business, sekatan terhadap cip rekaan Huawei yang dikenakan pada bulan Mei telah mendorong syarikat itu melakukan beberapa langkah untuk mengelak melalui pihak ketiga.

“Peraturan baharu ini lebih jelas bahawa penggunaan perisian atau peralatan fabrikasi AS adalah dilarang dan memerlukan lesen,” katanya.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam ciapan di Twitter berkata, kerajaan AS memberi tamparan langsung kepada Huawei dan Parti Komunis China dengan membataskan kemampuan Huawei memperoleh teknologi AS serta menjejaskan integriti rangkaian global dan maklumat peribadi rakyat AS.

Huawei bagaimana pun tidak memberi kenyataan mengenai perkara berkenaan.

Dengan hubungan AS-China berada dalam keadaan paling buruk sejak beberapa dekad, Washington ‘menekan’ kerajaan lain seluruh dunia untuk menyekat Huawei dengan alasan syarikat itu akan menyerahkan data peribadi kepada kerajaan China atas tujuan pengintipan, namun dinafikan Huawei.

Dalam satu rancangan di Fox Isnin lalu, Trump tanpa bukti kukuh menuduh Huawei mengintip rakyat AS.

“Kami tidak mahu peralatan mereka berada di AS kerana mereka mengintip kita,” kata Trump.

Tindakan baharu yang berkuat kuasa serta-merta itu akan menghalang usaha Huawei mengelakkan kawalan eksport AS, kata Jabatan Perdagangan AS.

Pegawai Jabatan Perdaga­ngan AS enggan menyatakan sama ada jabatan itu memiliki atau menyetujui lesen untuk pembuat cip membekalkan Huawei atau jika ada aplikasi yang belum selesai.

Walau bagaimanapun, Persatuan Industri Semikonduktor AS mengatakan bahawa sekatan luas penjualan cip komersial akan membawa gangguan besar kepada industri berkenaan.

“Kami terkejut dan bimbang dengan langkah kerajaan yang mengenakan pendekatan lebih sempit bertujuan untuk keselamatan negara dan mengehadkan keburukan kepada syarikat AS,” katanya.

Peraturan baharu berasi­ngan juga memerlukan syarikat yang berada dalam senarai hitam ekonomi memperoleh le­sen apabila syarikat lain dalam senarai hitam seperti Huawei bertindak sebagai pembeli, penerima barang atau pengguna akhir.

Jabatan Perdagangan juga mengesahkan tidak akan me­lanjutkan tempoh lesen umum sementara yang tamat Jumaat ini kepada pengguna peranti Huawei dan penyedia telekomunikasi. Setiap pihak perlu menghantar permohonan lesen untuk transaksi yang dibenarkan sebelum ini.

Jabatan itu juga mengatakan ia membenarkan lesen umum sementara peraturan itu berak­hir, yang meliputi sokongan kepada peranti elektronik pengguna peribadi sedia ada. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya