PUTRAJAYA: Industri pelancongan bakal lumpuh jika rakyat tidak mengutamakan destinasi-destinasi tempatan untuk bercuti.
Perkara itu ditegaskan Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Khairol Nizam Saad.
Ketika ini, katanya, sektor itu sedang terjejas teruk dan dijangka akan bertambah parah jika tiada sebarang tindakan diambil.
Jelasnya, norma baharu pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini menyaksikan sempadan negara tidak lagi akan dibuka dalam jangka masa yang panjang.
“Bahkan, ada sesetengah negara yang terus menutup pintu sempadan dan kita juga tidak akan melancong ke sana seperti Amerika Syarikat (AS), India, Mexico berikutan penularan wabak Covid-19 di sana.
“Segala urusan perniagaan berkaitan pelancongan kini sedang merudum secara mendadak, acara-acara mega tidak lagi akan menjadi tumpuan orang ramai, sektor makanan dan minuman juga akan menerima kesan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Norma Baharu dalam Industri Pelancongan: Aliran dan Peluang pada Persidangan Kerja Masa Hadapan untuk Sektor Pelancongan’ di sini semalam.
Antara aliran baharu pasca PKP juga bakal menyaksikan orang ramai lebih mengambil berat perihal keselamatan, kesihatan, kebersihan bahkan jenama serta berbelanja untuk sesuatu yang berbaloi dengan nilai yang ditawarkan.
Tambah Khairol Nizam, bagi memastikan sektor pelancongan negara terus bertahan, beberapa langkah drastik perlu dilaksanakan dengan kadar segera.
“Antaranya, mempertingkatkan aktiviti pelancongan domestik, pembangunan platform dan rangka kerja data yang menyeluruh untuk koleksi data pelancongan serta pembinaan semula sektor itu menerusi amalan pelancongan yang lebih mampan,” ujarnya.
Seterusnya, kata beliau, mempertingkatkan kerjasama pintar antara masyarakat awam dan swasta, transformasi digital serta pembinaan platform perhubungan yang lebih selamat serta bebas sentuh ketika melancong.
Beliau memberitahu, langkah terakhir adalah mempertingkatkan serta memanfaatkan kemahiran tenaga kerja tempatan agar negara dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing.
“Sehingga kini, dicatatkan negara kehilangan pendapatan sekitar RM45 bilion (Januari hingga Jun lalu) di sektor pelancongan akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia.
“Terdapat beberapa perkara positif akibat penularan wabak tersebut dalam sektor pelancongan antaranya alam sekitar menjadi lebih baik, lapangan terbang juga kurang sesak, hotel-hotel mewah juga mula menurunkan kadar harga mereka,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE