KUALA LUMPUR: Boustead Holdings Bhd. (Boustead) mengumumkan pelantikan dua tokoh mengisi jawatan dalam ahli lembaga pengarah (BOD) konglomerat tersebut berkuat kuasa semalam.
Boustead dalam kenyataan memberitahu, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif manakala Datuk Zurainah Musa pula dilantik Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.
Jelas kenyataan itu, Abu Bakar, 65, berpengalaman luas lebih 30 tahun dalam pengurusan dan pentadbiran awam, pernah memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan pada 2007.
Menurut Boustead, Abu Bakar juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kementerian berbeza termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Setiausaha Pembangunan Wilayah Persekutuan dan Perancangan Lembah Klang di Jabatan Perdana Menteri di samping Setiausaha Penolong Pengetua Majlis Angkatan Tentera.
“Abu Bakar adalah pemegang Ijazah Sarjana Seni Pengajian Antarabangsa dari Universiti Denver Amerika Syarikat (AS) selain Ijazah Sarjana Muda Seni (Kepujian) Sejarah dari Universiti Malaya,” kata kenyataan itu.
Zurainah, 58, pula memulakan kariernya pada 1983 dan pernah memegang beberapa jawatan pengurusan kanan dalam organisasi berpangkalan di Malaysia, Australia, AS, Indonesia dan Asia Barat.
Katanya, Zurainah berpengalaman luas dalam bidang Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia di samping Pengurusan Perhubungan Manusia.
“Zurainah ketika ini memegang jawatan ahli lembaga pengarah dalam beberapa syarikat termasuk Berjaya Corporation Bhd., UZMA Bhd. dan Tioman Island Resort Bhd.
“Beliau memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Universiti Hospitaliti Berjaya; Diploma Pasca Siswazah dalam bidang pengurusan sumber manusia dari Universiti Newcastle, Australia di samping beberapa kelayakan dalam bidang kesihatan dan keselamatan pekerjaan serta sains kesetiausahaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE